SELEPAS empat tahun berseteru, dua vokalis rock legenda tanah air, Datuk Awie Wings dan Datuk Amy Search akhirnya mengenepikan ego dengan berdamai dan saling memaafkan.
Menurut Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, pertemuan yang diaturkan satu pihak baru-baru ini menjadi titik permulaan baharu bagi hubungannya bersama Amy yang sudah dianggapnya seperti abang.
“Saya ambil masa berminggu-minggu untuk setuju bertemu sebab masing-masing ada ego sendiri.
“Namun, selepas difikirkan semula saya tidak mahu biadab dengan orang yang lebih dewasa.
Saya sayang dia sebagai seorang abang, pelopor muzik rock di Malaysia dan tiada yang lebih layak untuk memegang gelaran nombor satu sepertinya,” katanya kepada HibGlam di NusaFest, di sini baru-baru ini.
Tambah vokalis berusia 54 tahun itu, hubungannya dengan Amy mula dingin pada 2019.
Dia bagaimanapun akur dan sebagai individu yang lebih muda, ego harus diketepikan dan enggan memanjangkan permusuhan tersebut.
“Hubungan kami dingin beberapa tahun juga, sejak pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad meninggal dunia (2019).
“Disebabkan lebih muda daripadanya, saya pergi jumpa dan saling bermaaf-maafan sebagai adik dan abang, sahabat serta ahli perjuangan dalam industri.
“Tiada apa lagi yang hendak fikirkan. Umur pun semakin tua, kubur pun memanggil-manggil (kematian). Ini bulan yang baik dan mulia,” kata pelakon serta penerbit filem Sue-On itu.
Awie mengakui, pertemuan semula dengan dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13, baru-baru ini turut membuka matanya untuk memperbaiki hubungan dingin dengan individu lain.
“Saya nak buang zaman bodoh-bodoh seperti dulu.
Sejak bertemu kembali dengan anak-anak baru-baru ini, saya mencari dan hubungi semula kawan-kawan yang bergaduh dengan saya. Kami lupakan masalah serta bersahabat semula.
“Alhamdulillah, dunia semakin sempit dan semakin hari, kematian juga menghampiri. Sudahlah, cukup,” ujarnya.
Hubungan dingin itu bermula apabila Amy berkecil hati dengan kenyataan Awie yang mendakwanya mengabaikan Yazit ketika sakit.
Baginya, Awie melemparkan tuduhan tidak berasas dan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak.
Terdahulu, Allahyarham Yazit disahkan meninggal dunia pada September 2019 akibat pelbagai penyakit. – HIBGLAM
View this post on Instagram