KETIKA perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan anak masih belum ada kata putus, pelakon Farid Kamil menzahirkan hasrat untuk membawa anak sulungnya, Muhammad atau Che Mad menonton filem terbaharu lakonannya, Anwar: The Untold Story yang sedang hangat diperkatakan ramai di pawagam.
Farid berkata, dia bagaimanapun perlu mengikut prosedur yang ditetapkan mahkamah, iaitu menghantar surat lima hari sebelum tarikh bertemu dengan anak-anaknya.
“Muhammad sangat teruja dan bertanya, bila filem akan ditayangkan. Tapi, seperti yang semua sedia maklum, untuk bawa anak-anak saya ke pawagam, saya kena buat surat.
“Setakat ini, peguam saya dah hantar surat untuk itu dan kalau ada rezeki, saya akan pastikan Muhammad dapat menonton filem itu,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya sudah bertemu dengan anak-anak, Farid berkata, dia sudah berkesempatan meluangkan masa selama empat hari dengan kedua-dua anaknya, Mohammad dan Nur Aurora.
“Saya dapat berjumpa Aurora sebanyak dua kali dan Muhammad sebanyak empat kali. Setakat ini, saya dapat luangkan masa selama empat hari. Itu pun selepas yang diberitakan mengenai isu anak trauma,” katanya.
Farid membintangi filem yang mengisahkan perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu di samping barisan pelakon hebat lain seperti Acha Septriasa dan Hasnul Rahmat. – HIBGLAM