Nenek kecewa Syasya keluar Dolla, sambung belajar luar negara

PELAKON Rozie Othman kecewa apabila cucunya iaitu bekas anggota Dolla, Syasya mengundur diri daripada kumpulan itu semasa namanya sedang memuncak.

Rozie, 61, bagaimanapun terpaksa reda dengan keputusan cucu kesayangannya itu.

“Syasya, mummy (nama panggilan Rozie) ucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu walaupun mummy ada rasa kecewa kerana nama awak tengah naik dan buat keputusan untuk berkahwin.

“Mummy dan keluarga terpaksa berlapang dada dan apa-apa keputusan, insya-Allah kalau suatu hari nanti awak mahu kembali. Saya doakan awak.

“Namun, bila dia buat keputusan tarik diri memang agak kecewa. Ramai kawan-kawan bertanya tetapi saya tiada jawapan. Mungkin Allah tentukan untuk dia tidak bernyanyi lagi,” katanya menerusi sebuah temu bual program hiburan.

Dalam masa sama, pelakon filem Di Ambang Kasih itu mendedahkan bahawa Syasya, 23, atau nama lengkapnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal terpaksa keluar daripada Dolla untuk mengikuti suami ke luar negara bagi menyambung pelajaran.

“Dia nak kahwin sebab suaminya mahu sambung belajar. Memang dia tidak mahu keluar tetapi disebabkan perjanjian sudah berkahwin kena keluar.

“Insya-Allah, selepas raya haji Syasya dan suami akan bergerak ke luar negara untuk sambung belajar,” kongsinya.

Selain itu, Rozie turut bersyukur doa mahu melihat Syasya menutup aurat termakbul apabila kini sudah mula bertudung.

“Masa dia mahu bernikah, saya sebulan berada di Tanah Suci. Saya berdoa kalau Syasya mahu cipta nama minta dia tukar penampilan supaya tidak seksi dan biarlah nampak kewanitaan.

“Tetapi mungkin Allah kabulkan sekarang ini dia sudah bertudung dan terpaksa keluar dari kumpulan,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, mengejutkan ramai pihak khususnya peminat Dolla apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan tersebut atas sebab peribadi yang tidak dapat didedahkan.

Susulan itu, pelbagai spekulasi mula bertiup kencang termasuk dengan perubahan imejnya yang dikatakan sudah bertudung.

Kemudian pada 21 April lalu, Syasya sekali lagi membuat kejutan apabila wakil syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan dia sudah selamat bergelar isteri.

Sehingga kini, identiti suaminya masih tidak dikongsi kepada umum. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok