Saya keluar Dolla demi kelangsungan hidup – Syasya

BEKAS anggota Dolla, Syasya mengakui bukan mudah untuknya membuat keputusan menarik diri daripada kumpulan popular tersebut.

Menurut Syasya atau nama lengkapnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal bukan hanya peminat, hatinya turut terluka dengan keputusan tersebut namun harus reda menerima ketentuan Tuhan.

“Minta maaf kerana mengambil masa untuk saya buat penjelasan. Saya tahu, keputusan yang diambil sedikit sebanyak membuat ramai yang keliru, marah dan menggores perasaan.

“Namun, takdir telah tertulis saya perlu membuat keputusan pada saat paling sukar demi kelangsungan hidup.

“Saya tahu sebahagian peminat terluka dengan keputusan ini tetapi sejujurnya luka itu lebih besar untuk diri saya sendiri kerana perlu menerima dan melalui ketentuan ini,” kata Syasya, 23, menerusi Instagram.

Tambahnya, meskipun sudah tidak bersama Dolla dan imej serta status sudah bertukar, dia menegaskan dirinya masih individu yang sama seperti sebelum ini.

“Saya harap kita semua masih terus bersama dan mohon doa kalian yang baik-baik sahaja.

“Jangan risau semua, saya masih Syasya yang sama seperti yang anda kenal sejak tahun 2019.

“Tanpa kalian semua, tiada Syasya Dolla di pentas seni dan Dolla tak akan berada di tempatnya sekarang,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, dia turut menitipkan ucapan penghargaan buat anggota Dolla agar terus melangkah mencapai impian untuk berada di persada seni antarabangsa.

“Untuk Dolla pula, saya sentiasa sokong mereka yang sudah bersama saya sejak permulaan kerjaya.

“Dolla ialah segala-galanya dan sangat berharga untuk saya. Impian untuk Dolla melangkah ke pentas antarabangsa masih saya sematkan dalam jiwa walaupun sudah tidak bersama lagi dengan mereka.

“Saya yakin mereka mampu mencapai impian tersebut dengan sokongan iDolla. Semangat saya sentiasa untuk mereka,” tuturnya.

Syasya bagaimanapun tidak membuat penjelasan lanjut mengenai dakwaan sudah bertudung dan keputusannya mendirikan rumah tangga baru-baru ini.

Pada 8 April lalu, Syasya mengejutkan ramai pihak khususnya peminat Dolla apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan tersebut atas sebab peribadi yang tidak dapat didedahkan.

Susulan itu, pelbagai spekulasi mula bertiup kencang termasuk dengan perubahan imejnya yang dikatakan sudah bertudung.

Kemudian pada 21 April lalu, Syasya sekali lagi membuat kejutan apabila wakil syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan dia sudah selamat bergelar isteri.

Sehingga kini, identiti suaminya masih tidak dikongsi kepada umum. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok