Lelaki Itu dah ‘selesai’, tiada sambungan – Erma Fatima

LELAKI itu tidak akan disambung sebab kisahnya sudah habis.”

Demikian pendirian penerbit dan penulis skrip Lelaki Itu, Erma Fatima meski drama fenomena itu meraih jumlah tontonan tinggi.

Menurut Erma, jalan cerita tentang kehidupan keluarga Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra sudah tamat dan tiada keperluan untuk diwujudkan musim kedua walaupun mendapat permintaan tinggi.

“Tiada apa yang perlu disambung lagi untuk drama ini. Semua jalan cerita sejak awal hingga episod akhir sudah bernoktah.

Kalau mahukan musim kedua, saya perlu hasilkan cerita lain. Sejujurnya, saya sangat takut dengan drama ini sebab jalan ceritanya sangat berat.

“Berat kerana mengetengahkan isu agama dan hukum-hakam Islam termasuk mengenai pembahagian harta pusaka atau faraid,” katanya ditemui pada majlis Drama Sangat Close Up X Lelaki Itu baru-baru ini.

Faktor lain dia enggan menyambung drama 30 episod tersebut adalah disebabkan enggan menjejaskan reputasi Lelaki Itu yang sudah berada dalam liganya sendiri.

“Saya tidak akan sambung drama ini walaupun dapat sambutan hebat dan ramai minta. Jalan ceritanya cukup setakat itu sahaja.

Saya tak mahu turunkan taraf drama Lelaki Itu. Lebih baik saya cabar diri dengan hasilkan drama lain yang lebih hebat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Erma menzahirkan rasa syukur dengan sambutan hebat yang diberikan penonton terhadap drama terbitan syarikat produksinya, Rumah Karya Citra sehingga merekodkan capaian 1.13 bilion dalam media sosial.

“Awalnya, stesen TV ragu-ragu untuk terima drama ini kerana disifatkan berat dengan pelbagai isu  namun saya terkejut apabila TV3 terima untuk ditayangkan dalam slot Samarinda.

Tentang kejayaan 1.13 bilion, sebenarnya saya baru tahu. Saya macam tak percaya sebab dapat capai jumlah yang begitu besar.

“Alhamdulillah, perjuangan nombor satu saya untuk terus menghasilkan karya terbaik dengan kerjasama pelakon berkualiti. Saya cuba buktikan drama ini berkualiti walaupun berdepan kerugian,” katanya lagi.

Drama karya Erma serta diarahkan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif itu dibarisi pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nadia Brian dan Sophia Albarakbah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok