Jejak segera dalang kes simbah asid Faisal Halim – Afdlin Shauki

SUTRADARA terkenal, Datuk Afdlin Shauki menggesa pihak berkuasa segera menjejaki dalang kes simbah asid pemain Harimau Malaya, Faisal Halim baru-baru ini.

Kata Afdlin, insiden ngeri itu secara tidak langsung mempengaruhi emosi masyarakat selain mampu mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana berlaku di sebuah pusat beli-belah.

Sekiranya berjaya menahan pelaku tersebut, pihak berkuasa perlu siasat individu yang berada di belakang mereka. Mahu mendapatkan asid tersebut bukan mudah, pasti ada dalang yang memainkan peranan penting.

“Kejadian sebegini buat kita terfikir tentang keselamatan diri sebagai orang awam. Adakah ini satu kehidupan baharu yang kita kena hadapi?

Sekiranya ada individu berasa tidak puas hati, mereka terus melakukan serangan seperti simbah asid dan sebagainya. Saya tidak mahu Malaysia menjadi negara sebegini.

“Sekiranya ada masalah, kita berbincang dan kalau betul tidak suka, pilih cara bertolak-ansur,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Pengarah filem Buli Balik itu turut meluahkan rasa simpati dan terkilan terhadap nasib yang menimpa pemain penyarang Selangor FC itu.

Memang ada niat mahu menziarah di hospital tetapi kami dinasihatkan agar memberi ruang kepada Faisal selesai jalani pembedahan dan rawatan kerana dia kini ditempat di unit rawatan rapi (ICU).

“Kalau boleh marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau. Dia adalah pemain bola sepak skuad kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin yang juga sutrada filem Harimau Malaya The Untold Journey berterima kasih kepada Faisal kerana sempat meluangkan masa menjalani penggambaran bersamanya.

Faisal akan muncul dalam satu babak dalam filem ini nanti. Awalnya kami sukar untuk mendapatkan wakil pemain kebangsaan kerana jadual latihan dan perlawanan yang padat.

“Namun, saya bersyukur kerana Faisal sanggup luangkan masa untuk terlibat dalam filem ini,” ujarnya.

Filem tersebut mengisahkan konflik dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain menyentuh soal pengurusan, perspektif Ultras, jurulatih Kim Pan-Gon dan sudut pandang pemain.

Antara pelakon yang menjayakan filem tersebut ialah Syafiq Kyle, Aidil Aziz, Sophia Albarakbah, Tony Eusoff, Namron dan Kevin Jay. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok