Framed inspirasi kisah perlombongan, radioaktif

DRAMA bersiri terbaharu arahan Sein Qudsi berjudul Framed mendapat respons baik daripada pengamal media baru-baru ini.

Astro kini kembali mencabar norma naratif hiburan dengan mempersembahkan sebuah siri drama premium tersebut yang menceritakan tentang kamera polaroid yang mencetak tragedi masa depan.

Di sebalik pembikinan drama tersebut, penulis skrip, Kyle atau Kyle Ezra Grooting berkongsi tentang idea asal drama berkenaan yang tercetus selepas waktu pandemik.

Saya rasa pertama kali saya tampil dengan idea ini selepas waktu pandemik dan pada ketika itu, kita semua terkesan.

“Saya tidak mahu menyentuh mengenai pandemik tetapi kami mahukan sesuatu yang serupa untuk mempengaruhi semua orang,” katanya.

PENERBIT Framed, Zurina mencabar dirinya menghasilkan karya berbeza.

Mengulas lanjut berkenaan idea, Kyle berkongsi lebih terperinci tentang karya yang membawa mesej mendalam mengenai jalan cerita naskhah tersebut.

“Kami terfikir mengenai kisah dan subjek yang berkaitan dengan perlombongan dan radioaktif yang kalian semua tahu sememangnya benar-benar berlaku di Malaysia pada tahun 1970.

Oleh itu, kami ingin menerokai beberapa subjek dan topik mengenai hal tersebut. Kami berfikir untuk menerokai beberapa perkara dan apakah sebenarnya cara yang menarik untuk paparkan ke dalam skrin.

“Hasilnya kami menjadikan hal tersebut sebagai perkara yang diletakkan di dalam plot, jadi tercetusnya idea kami dengan mewujudkan elemen kamera fantasi. Itulah ideanya,” jelasnya.

Selain itu, Kyle juga berkongsi tentang pengajaran yang boleh dipelajari dalam drama Framed.

Sebenarnya kisah cerita ini adalah tentang melepaskan sesuatu yang sudah berlalu dan setiap karakter yang akan menyingkap lagi banyak rahsia.

“Untuk bergerak ke hadapan, kita perlu melepaskan masa lalu, itulah pengajarannya,” ujar Kyle.

Sementara itu, pengarah, Sein juga menyatakan corak pengarahan naskhah tersebut berbeza dengan naskhah-naskhah yang dihasilkan sebelum ini.

Framed adalah sebuah naskhah yang berbeza dengan karya-karya yang saya pernah ada sebelum ini.

Awal-awal saya berjumpa dengan Kyle untuk tengok jalan cerita tersebut dan kami mendalami apa yang mahu disampaikan satu persatu.

“Drama ini akan membongkarkan lagi banyak karakter yang menarik,” katanya.

SEIN selaku pengarah Framed mengakui karya sentuhannya itu cukup mencabar berikutan kelianan yang cuba dibawa.

Pada masa sama, ahli anggota kumpulan Ruffedge itu juga berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya dalam penghasilan Framed.

Cabaran menjalani penggambaran drama ini adalah mengekalkan konsisten dalam pelaksanaan penggambaran sepanjang tempoh yang diberikan.

“Contoh hari pertama menjalani penggambaran episod empat babak dua, hari-hari ‘shoot’ memang berterabur.

“Perkara itu agak susah kerana mengekalkan konsisten bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Sein juga menyandarkan harapan agar Framed mendapat respons positif daripada penonton.

Soal bajet dan sebagainya juga diambil kira tetapi pasukan saya seperti pelakon, kru dan produksi percaya kepada saya untuk meneruskan penggambaran ini.

“Jadi, saya berharap penonton dapat menerima Framed dan teruja dengan jalan cerita yang dipersembahkan, seperti mana kami teruja sepanjang menjayakan drama siri premium ini.” kata Sein.

Framed yang dijayakan dua tunggak utama, Meerqeen dan Mimi Lana mula ditayangkan bermula hari ini menerusi Astro Originals.

Framed mengisahkan seorang wartawan bernama Lia (lakonan Mimi Lana) menemui sebuah kamera polaroid yang mencetak tragedi masa depan.

Ketika penyiasatan dilakukan, Lia bertemu Edi (Meerqeen) seorang aktivis alam sekitar.

Mereka juga mendapat petunjuk tentang konspirasi pencemaran persekitaran yang berlaku di bandar Krung Merah pada 10 tahun lalu, dikaitkan dengan kehilangan ahli keluarganya.

Selain dua aktor itu, Framed yang dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Sengeetha, Ram Raaga dan Namron mula ditayangkan pada 3 Mei pukul 9 malam. – HIBGLAM

caption

Framed sebuah drama mempaparkan misteri konspirasi jenayah lain daripada lain.

PENERBIT Framed, Zurina mencabar dirinya menghasilkan karya berbeza.

Framed yang dijayakan dua tunggak utama, Meerqeen dan Mimi Lana mula ditayangkan bermula hari ini menerusi Astro Originals. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok