Keluarga, rakan beri penghormatan terakhir buat Hail Amir

SUASANA hiba menyelubungi pekarangan Masjid Ukay Perdana sebaik jenazah penghibur legenda tanah air, Datuk Hail Amir dimandikan sekitar pukul 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, solat jenazah akan berlangsung pada pukul 10.30 nanti sebelum urusan pengebumian disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, sekitar pukul 11 pagi ini.

Ahli keluarga serta rakan terdekat juga setia mendampingi jenazah Allahyarham sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran.

Sayu mengenang keperibadian personaliti yang mudah didekati itu, semua yang hadir  memberikan penghormatan terakhir kepada pelantun lagu Tanda Kasih itu kelihatan sugul.

Lebih 200 pelawat termasuk saudara-mara dan kenalan berada di masjid tersebut bagi mengiringi perjalanan terakhir anak seni kelahiran Pulau Pinang itu.

Turut kelihatan pasangan duet Allahyarham,  Uji Rashid, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Khadijah Ibrahim dan ramai lagi

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir, 76, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 3.38 petang semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok