Gelaran Biduan Negara untuk Hail Amir – Ziana Zain

PEMERGIAN bintang veteran, Datuk Hail Amir pada Isnin turut meninggalkan impak mendalam kepada penyanyi Ziana Zain.

Ziana bahkan menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang wajar diberikan gelaran Biduan Negara memandangkan hampir setengah abad berkecimpung dalam dunia nyanyian tanah air.

Bagi saya, penyanyi seperti beliau seharusnya diberikan gelaran Biduan Negara kerana hampir 50 tahun sudah menghiburkan kita.

“Bayangkan sahaja, beliau yang aktif dengan kerjaya seni sejak 1970-an sudah menyanyi sehingga akhir-akhir ini.

Lihat sahaja sudah berapa generasi dihiburkan oleh beliau, dari era ibu kita hinggalah ke hari ini, beliau tetap tidak mengalah untuk mengiburkan peminat meskipun sedar kesihatannya kurang mengizinkan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar, Siti Roziana Zain, 56, turut terkenang momen indah ketika berpeluang membuat persembahan bersama Allahyarham di Dewan Filharmonik Petronas (DEP) pada Mei tahun lalu.

Hampir setahun memori berlalu, Ziana memberitahu, Allahyarham memiliki personaliti yang mudah didekati dan gemar berjenaka.

Ujar Ziana, selain sikap suka bergurau, Hail juga banyak memberikan nasihat dan sokongan agar dia tetap meneruskan kerjaya sebagai penyanyi biarpun sudah memasuki usia senja kelak.

Beliau pernah berpesan, jangan pernah mengalah sebagai penyanyi meskipun sudah berusia nanti.

“Lihat sahaja dirinya, meskipun sudah berumur 70-an, beliau tetap berusaha memberikan persembahan terbaik bagi menghiburkan peminat yang selama ini banyak menyokong kerjayanya,” kata Ziana.

Tidak hanya itu, Ziana mengakui dirinya sangat menggemari lagu Seloka Hari Raya yang dinyanyikan Hail bersama Uji Rashid.

Saya memang suka lagu Seloka Hari Raya dan jika tidak mendengarkan lagu itu, rasa sambutan Aidilfitri tidak lengkap dan tidak ada mood untuk beraya,” jelasnya.

Penyanyi veteran yang terkenal dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 3.48 petang.

Hail atau nama lengkapnya Abdul Hail Amir sebelum ini dimasukkan ke pusat rawatan tersebut selepas mengalami batuk berterusan sejak minggu lalu.

Pada 2018 Hail pernah masukkan ke wad akibat masalah jantung selepas mengadu sakit dada.

Untuk rekod, Hail memulakan kerjaya seni sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan sekitar awal 1970-an.

Selain aktif sebagai penyanyi, beliau juga sering ditawarkan membawa watak utama dalam filem antaranya Jiwa Remaja, Menanti Hari Esok serta Cinta Dan Lagu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok