Papa pergi namun karyanya kekal abadi- anak Hail Amir

MENYIFATKAN pemergian bapa tercinta sebagai khabar duka yang pahit untuk ditelan, anak Allahyarham Datuk Hail Amir iaitu Lutfi Ameer bagaimanapun reda dan bersyukur arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang.

Ujar Lutfi, 26, dia tidak menyangka bapanya pergi secepat ini apatah lagi ketika dirawat di hospital keadaan figura kesayangannya itu sangat normal bahkan sempat bergurau senda dengan anak-anak.

Satu keluarga tahu yang papa ada masalah buah pinggang tapi tidaklah teruk mana sebab sudah lama makan ubat. Kami tidak sangka jadi begini.

“Semuanya normal sebelum papa mengadu sakit dan segera dikejarkan ke hospital berikutan keadaannya tampak lemah.

Tapi selepas dirawat beberapa hari tahap kesihatannya semakin okey dan papa sempat bergurau lagi dengan saya seperti orang sihat. Tak sangka dia pergi secepat ini,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sama ada terdapat tanda-tanda atau kata-kata  terakhir arwah, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata bapanya sentiasa berpesan agar dia dan saudaranya yang lain menjaga diri sebaiknya.

“Tiada apa-apa pesanan istimewa tapi papa selalu cakap dekat kami supaya jaga diri baik-baik.

Terlampau banyak kenangan dengan arwah. Papa periang, tegas tapi bertempat. Rumah tak pernah sunyi kalau ada papa, sekarang papa tiada lagi.

“Perginya seorang figura yang sangat penting dalam hidup saya. Bukan sahaja sebagai bapa tetapi sumber inspirasi buat kami adik-beradik,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, hari ini.

Tambah Lutfi lagi, meskipun bapanya sudah tiada namun peninggalan karya seninya akan terus hidup bersama mereka sampai bila-bila.

“Selepas ini, hanya lagu papa yang akan menemani hari sunyi kami sekeluarga. Saya anggap itu peninggalan paling berharga dan bonus buat kami yang tidak semua orang ada.

Ada sesetengah orang mungkin meninggalkan tanah atau harta tapi papa tinggalkan kami dengan karya agung yang tidak ternilai harganya.

“Meskipun papa tiada, karyanya akan sentiasa mengubati rindu kami sekeluarga. Suaranya akan berkumandang sampai bila-bila,” ujarnya.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir, 76, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3:48 petang semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana jam 11 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah arwah Hail selesai dimandi dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir sejak awal pagi bagi memberi penghormatan terakhir buat penyanyi dan pelakon popular era 1970-an itu.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah Uji Rashid, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Yusof Haslam, Mubarak Majid, Abon dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok