Saya ‘terluka’ lihat ramai kahwin bawah umur – Puteri Balqis

DIA selayaknya berada dalam kelompok pelakon bertaraf ‘papan atas’. Level penghayatannya bukan tahap ‘diploma’ tetapi sudah tahap ‘sarjana’. Berilah apa sahaja karakter, pasti dibelasahnya cukup-cukup sehingga meninggalkan impak luar biasa kepada penonton.

Itulah kualiti Puteri Balqis, jika tidak, masakan dia pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014 ketika masih berusia tujuh tahun.

Waktu bergulir, Balqis kini muncul menerusi drama terbaharu terbitan Viu Malaysia berjudul Terlanjur Cinta.

Lantaran penjiwaan sepenuh hati dipersembahkan, pucuk muda yang mesra disapa sebagai Aqish itu mengakui kesukaran meninggalkan watak Aishah walaupun sudah berbulan-bulan penggambaran diselesaikan.

Kata bintang berusia 17 tahun itu, Aishah meninggalkan impak yang terlalu besar buat dirinya sehingga kini.

Saya tiada masalah untuk menjiwai watak Aishah tetapi sukar untuk tinggalkan ‘roh’ karakter tersebut sebab telah beri seluruh jiwa kepadanya.

“Masakan tidak, setiap hari apabila pulang ke rumah, ibu akan panggil saya Esah sebab dia boleh rasa, betapa kuatnya saya melekat dengan Aishah.

Nama panggilan itu pun sebenarnya ada kisah sedih. Walaupun nama itu comel, realitinya ada kisah yang menyakitkan,” katanya kepada HibGlam.

DRAMA sudah ditayangkan, namun sehingga kini watak Aishah masih hidup dalam jiwa Aqish.

Terlanjur Cinta hasil cetusan idea Erma Fatima yang mengangkat tema pengorbanan seorang anak kepada keluarga sehingga perlu berkahwin pada usia muda.

Aqish akui mesej tersebut sangat dekat dengan kehidupan peribadinya.

Drama ini ketengahkan mesej kasih sayang dan pengorbanan anak untuk keluarga. Rasa sangat dekat dengan diri saya sebenarnya. Bukan saya sahaja tetapi ramai yang boleh kaitkan drama ini dengan diri sendiri.

“Pengorbanan Aishah pula terlampau menyakitkan. Pada usia 17 tahun tetapi dia harus melalui banyak keperitan hidup. Sehingga hari ini, saya akan tonton semula video waktu penggambaran sebab saya masih tak dapat lepaskan rasa sayu itu,” ujarnya.

Berkongsi pandangan mengenai perkahwinan bawah umur lakonan dalam drama tersebut, Aqish sedar isu tersebut sangat berat.

Perkahwinan dengan pasangan bawah umur umpama memetik bunga yang belum mekar.

Apabila saya melihat remaja yang berkahwin muda, saya rasa sayu dan sedih. Ibarat kita petik bunga yang belum berkembang dan sedih melihat ramai juga yang perlu melalui hidup begitu, sangat terseksa sebenarnya.

“Kepada mereka yang melalui situasi sebegitu, saya sayang kalian dan perlu kuat semangat bagi meneruskan kehidupan mendatang,” katanya.

Bagi menjiwai karakter Aishah, pemilik nama penuh Puteri Balqis Azizi itu melakukan ‘kerja rumah’ menonton pelbagai naskhah mengetengahkan isu sama.

Untuk memastikan watak Aishah hidup, saya banyak tonton filem dan dokumentari yang mengangkat kisah mengenai perkahwinan bawah umur. Sejujurnya hati saya terluka setiap kali menonton karya sebegitu.

“Bahkan, ketika pertama kali membaca skrip, saya terus menangis. Itu memang satu topik yang bagus dan sensitif tetapi tak banyak diceritakan dalam karya tempatan,” ujarnya.

Selain Aqish, Terlanjur Cinta arahan Izuan Mokhtar yang kini hangat ditayangkan menerusi platform Viu turut dibintangi Syafiq Kyle, Khir Rahman, Datin Seri Umie Aida, Syafi Tee dan Syafie Naswip.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok