Bayaran setimpal kreativiti pasukan saya – Aina Abdul

PENYANYI Aina Abdul menangkis dakwaan bayaran dikenakan ketika mengadakan persembahan di sebuah acara di Melaka terlampau tinggi, sebaliknya menegaskan permintaan itu setimpal dengan hasil kerjanya.

Kata pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, setiap kali tampil dalam sesebuah majlis, dia dibantu pasukan profesional meliputi segenap aspek yang juga sebahagian daripada kos dikeluarkan.

“Sejujurnya saya seorang yang ‘perfectionist’ apabila persediaan untuk sesuatu acara saya dapatkan khidmat pakar meliputi busana, solekan, penata gaya sehingga jurugambar.

Seorang Aina Abdul kalau keluar, persiapannya mengambil masa berjam-jam, disiapkan rapi pasukan yang juga sangat mementingkan kesempurnaan.

“Jadi bayaran yang saya terima adalah untuk pasukan saya sekali gus kesempurnaan yang saya tampilkan adalah hasil kreativiti mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38), baru-baru ini.

Penerima trofi Juara Lagu ke-37 menerusi Terus Hidup itu turut menyatakan mungkin ada pihak tidak faham situasi sebenar, namun bersyukur ramai pengelola acara memahami keperluan seseorang artis.

Menerusi SFMM38, Aina mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa Itu yang juga nukilan sendiri bersaing dengan 29 dendangan lain untuk mara ke Anugerah Juara Lagu pada 3 Mac tahun depan.

“Tiada tekanan tapi macam yang saya cakap peluang ke SFMM38 akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk beri yang terbaik dan melakukannya dengan rasa teruja.

Sebenarnya percakapan netizen itu membuatkan perjalanan ini lagi menyeronokkan lebih-lebih lagi mampu meneroka banyak perkara baharu.

“Seperti biasa penampilan pasukan saya kali ini tentu ‘all out’, soal harga itu muka surat lain cuma tentu saja kami akan lebih berpada-pada,” ujarnya.

Terdahulu, seorang individu yang mendakwa kenalan kepada penganjur sebuah acara mendakwa penyanyi itu menerima bayaran paling mahal berbanding artis lain yang turut diundang.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy akan bersiaran secara langsung dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember hingga 17 Disember ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok