Industri kita tak besar mana nak bergaduh – Dynas Mokhtar

SHAH ALAM – Susulan kes pergaduhan melibatkan selebriti, aktres Dynas Mokhtar berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan kemelut antara mereka tanpa pembabitan pihak luar.

Kata Dynas atau nama lengkapnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, jika sebarang masalah dimuat naik dalam media sosial, peluang untuk berbaik menjadi lebih sukar.

“Dalam adik-beradik pun kita mesti akan ada kecil hati dan bermasam muka, tetapi pasti akan baik balik.

“Sama juga macam berkawan. Kalau bergaduh masing-masing perlu bagi masa untuk berbaik kembali.

“Namun, apabila terkait unsur media sosial, itu akan mengeruhkan lagi keadaan kerana mulut orang akan tokok-tambah cerita,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Majlis Pelancaran Produk Amanda Amry.

Pada masa sama Dynas turut kesal melihat ikatan persahabatan selebriti di Malaysia menjadi keruh memandangkan pemain industri hakikatnya tidak begitu ramai.

“Saya rasa sedih tengok hubungan persahabatan yang tiba-tiba jadi tidak baik. Sayang.

“Industri kita tidak besar mana. Kalau pergi mana-mana acara pasti akan jumpa muka sama,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, pelakon Nabila Huda menuai perhatian ramai apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali aktres Nad Zainal dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.

Dalam wawancara bual tersebut, Nad memberitahu enggan mengambil kisah dan mengusutkan pemikirannya dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.

Fokusnya pada ketika ini ialah untuk suami dan anak-anak termasuk bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Spekulasi bermasam muka itu mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.

Selain Nabila, antara nama rakan selebriti lain yang terkait dalam isu ini ialah Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Marsha Milan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok