[VIDEO] Jom sertai cabaran laungkan azan – Rosyam Nor

Pengguna tegar media sosial beragama Islam diundang menyahut cabaran menyertai pertandingan azan secara atas talian, Muazin terbitan Suhan Channel yang menawarkan hadiah bernilai RM110,000.

Penerbitnya, Datuk Rosyam Nor berkata, inisiatif yang julung kali diadakan secara maya itu bertujuan meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku seruan mengerjakan solat.

“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan ini.

“Dengan ini, masyarakat berpeluang melihat peserta menggunakan kemahiran mereka dan kaedah berbeza mengalunkan azan.

“Jadi, saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya.

Menurut Rosyam, peserta boleh memilih untuk memuat naik video laungan azan di platform TikTok, Fecebook atau Instagram bermula 7 hingga 26 Julai ini.

“Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak. Prestasi peserta akan dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan suara, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan.

“Bagi pertandingan ini, kami menawarkan hadiah bernilai RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah,” kata Rosyam.

Barisan panel juri Muazin terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.suhanchannel.com. -HIB GLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Rosyam Nor (@iamrosyam)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok