Kontroversi Zul Ariffin, Perempuan Itu popularkan saya – Siti Hariesa

PELAKON sensasi, Siti Hariesa tidak menolak kontroversi babak panas drama lakonannya menjadi tiket segera yang  menjual namanya sebagai seorang pendatang baharu dalam dunia hiburan.

Hariesa atau nama lengkapnya Siti Hariesa Muhammad bagaimanapun berharap, kontroversi membabitkan babak ‘daring’ dalam drama Perempuan Itu, menjadi yang titik hitam pertama dan terakhir dalam karier seninya sebagai pelakon.

Si cantik 25 tahun itu seboleh-bolehnya enggan mengulangi kesilapan serupa apabila babak intim bersama pelakon Zul Ariffin dalam drama tersebut, hampir ‘meranapkan’ kerjaya seninya yang baru hendak bercambah.

“Publisiti tetap publisiti walaupun melibatkan perkara buruk. Tapi kalau boleh saya nak elakkan perkara sebegitu terjadi lagi selepas ini.

“Saya sudah ‘move on’ dengan kontroversi yang hampir meranapkan kerjaya seni yang baru hendak bercambah.

“Kejadian itu menjadi pengajaran dalam hidup saya. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk meneliti skrip terlebih dahulu. Kalau ada ‘babak panas’, saya akan tapis,” jelasnya kepada HibGlam.

Pada masa sama, pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 itu tidak pernah terfikir untuk berputus asa atau berundur daripada kerjaya lakonan walaupun pernah dikecam hebat netizen.

“Walaupun pernah dikecam hebat netizen, saya tidak pernah berputus asa. Saya hanya ‘move on’ dan jalankan kerja saya sebagai pelakon.

“Alhamdulillah kontroversi itu tidak memberi kesan terhadap kesihatan mental saya,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Zul Ariffin selepas ini, Hariesa yang ditemui pada pelancaran program Unifi TV Original itu tidak mempunyai jawapan untuk soalan tersebut dan membiarkan masa yang menentukannya.

“Berlakon lagi dengan Zul Ariffin? Tak tahulah. Kita tengok masa akan datang bagaimana,” katanya.

Namun yang jelas, Hariesa tidak menolak untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon lelaki berstatus suami orang, tetapi dia akan berhati-hati supaya tidak terpalit lagi dengan kontroversi sebagai ‘penyondol’.

“Kalau kena berpasangan dengan pelakon lelaki berstatus suami orang, saya akan berhati-hati. Berlakon adalah kerjaya saya.

“Tapi untuk terjebak dengan cinta lokasi, mungkin tidak. Saya cuma buat kerja saya sebagai pelakon. Lebih baik saya cari di luar (pasangan),” katanya.

Sekitar Mac tahun lalu, Hariesa pernah terpalit dengan kontroversi gara-gara sebuah teaser memaparkan babak intimnya bersama aktor Zul Ariffin untuk drama Perempuan Itu tular dalam media sosial.

Antara babak yang membuatkan ramai ‘ternganga’ adalah aksi Zul mendukung Siti Hariesa seperti sedang berasmara dalam keadaan berbogel.

Lebih panas, apabila ada adegan Hariesa menyuap whipping cream ke mulut Zul dengan aksi mengghairahkan.

Selepas setahun drama tersebut ‘digam’, naskhah yang turut menampilkan pelakon Mimi Lana itu akhirnya ditayangkan di TV3 pada Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok