SIAPA sangka di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, pelakon Aedy Asyraf pernah berdepan detik sukar apabila terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan empat dan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) demi menyara keluarga.
Bukan mudah, Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, berkata keputusan tersebut antara yang paling sukar pernah dilakukan dalam hidup dan perkara itu sudah dibincang dengan ibunya yang juga pelakon senior, Liza Zain.
“Ketika itu umur saya baru 16 tahun. Kalau lakukan dua perkara itu (belajar dan berlakon) serentak, saya akan gagal melaksanakannya.
“Kalau saya pilih untuk teruskan persekolahan, kami tidak akan ada duit nak makan setiap hari sebab kalau ke sekolah, saya tak boleh lakukan penggambaran langsung,” katanya dalam program Studio Sembang yang dikendalikan pelakon Amelia Henderson baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, selepas berhenti sekolah, dia fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan termasuk aktif menghadiri pelbagai uji bakat dengan menaiki pengangkutan awam bagi memastikan pihak produksi memberinya peluang untuk bergelar pelakon.
“Apabila sudah berlakon, saya memang fokus, pergi uji bakat walaupun terpaksa naik pengangkutan awam seorang diri.
“Sebab itu saya bersungguh-sungguh mendedikasikan diri dalam bidang ini dan banyak belajar termasuk membaca tentang ilmu lakonan,” katanya lagi.
Meskipun terpaksa mengetepikan pelajaran, Aedy tidak pernah menyesal malah berbangga kerana pengorbanan dilakukan meringankan beban keluarga.
“Saya pernah cakap dengan ibu biar saya cari duit dan beri peluang kakak sambung belajar. Saya bayar yuran pengajiannya di kolej serta semua bil keluarga.
“Ketika itu umur saya baru 17 tahun manakala kakak pula 19 tahun. Mahu atau tidak pada ketika itu, keputusan sudah diambil dan perlu teruskan sahaja.
“Itu keputusan paling sukar penah saya buat yang beri impak kepada kehidupan sehingga hari ini,” jelas pelakon drama Budak Tebing itu.
Melihat kejayaan dan kemasyhuran yang dikecapi hari ini, Aedy bersyukur dengan segala pengorbanan yang telah dilakukan sebelum ini.
Dia bagaimanapun menegaskan sekiranya diberi pilihan jika berkemampuan pada ketika itu, pelajaran akan menjadi keutamaannya berbanding lakonan.
“Saya rasa segala usaha sebelum ini sudah terbayar. Saya tak kata bangga kerana berhenti sekolah atau tidak memiliki SPM.
“Saya sedar bahawa pendidikan sangat penting dan kalau ada duit walau sedikit pun pada ketika itu, memang akan terus belajar.
“Masalah utama keluarga kami (ketika itu) adalah kewangan, memang tak ada duit langsung,” kongsinya panjang lebar.
Mengimbas semula, Aedy memulakan kerjaya seninya seawal usia 10 tahun dan sudah membintangi puluhan drama serta filem termasuklah Tentang Bulan, Kisah Cinta Kita dan Projek: Anchor SPM. – HIBGLAM