Terpalit konflik keluarga yang bagaikan tidak berpenghujung, pelawak Park Soo-hong akan meneruskan perjuangan dan mengheret kakak iparnya ke muka pengadilan.
Wakil peguam pelawak tersebut, Noh Jong-eon mendedahkan bahawa saman telah difailkan terhadap kakak ipar Soo-hong di Balai Polis Mapo atas dakwaan pelanggaran Akta Rangkaian Maklumat dan Komunikasi dan fitnah.
Terdahulu, Soo-hong memulakan prosiding undang-undang terhadap komen berunsur fitnah yang dibuat oleh bekas wartawan Kim Yong-ho.
Kes itu, bagaimanapun berakhir lebih awal selepas kematian mengejut Yong-ho pada 12 Oktober lalu.
Semasa prosiding, terbongkar bahawa dakwaan yang dilempar ke atas Soo-hong berpunca daripada maklumat palsu yang dicanang dan disebarkan oleh kakak iparnya.
Sebagai respons tindak balas, pengurusan Soo-hong meneruskan tindakan undang-undang terhadap kakak iparnya dan menggesa wanita itu untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku.