PELAKON, Izara Aishah dan suami, Adib Khalid berkongsi berita gembira mengenai kelahiran bayi perempuan yang juga cahaya mata kedua mereka.
Berita baik itu disahkan Adib menerusi ruangan komen dalam Instagram milik isterinya pada petang Jumaat lalu selain turut menzahirkan rasa syukur atas kelahiran permata hati mereka.
“Alhamdulillah, menyambut seorang lagi anak perempuan dalam keluarga kami. Terima kasih semua untuk doa-doa kalian,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, aktres berusia 31 tahun itu turut memuat naik video Adib sedang memangku bayi yang baru dilahirkan sambil diperhatikan anak pertamanya, Irisa Alaia.
Bagaimanapun, Izara tidak memperincikan butiran kelahiran si kecil termasuk tarikh bersalin.
Perkongsian pasangan terbabit turut menuai perhatian netizen yang rata-ratanya mengucapkan tahniah atas pertambahan ahli keluarga kecil mereka.
“Tahniah Izara dan suami, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, tahu-tahu sahaja sudah beranak, suka artis tak heboh,” komen seorang peminat.
“Alhamdulillah, bertambah lagi umat Nabi Muhammad, moga membesar dengan sihat dan menjadi anak yang sentiasa berbakti kepada ibu bapa,” komen seorang lagi peminat.
Terdahulu, menantu kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu memaklumkan bakal melahirkan cahaya mata kedua pada awal Oktober.
Lebih menarik, Izara yang juga bintang filem J Revolusi itu hanya mengetahui berbadan dua ketika usia kandungan sudah mencecah empat bulan.
Izara dan suami, Adib Khalid mendirikan rumah tangga pada 17 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Irisa Alaia, 3. – HIBGLAM
View this post on Instagram