Kamu tahu siapa yang habiskan duit – Fauziah Sarman

 

JUJUR mak sudah tidak kenal siapa Nurshahila lagi.”

Demikian antara luahan ibu kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman berhubung konflik keluarga yang menimpa mereka sekeluarga.

Selepas hilang dari radar ketika anak-anaknya berperang di media sosial, akhirnya ibu kepada penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman tampil meluahkan perasaan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui sudah hilang kata-kata melihat anak-anaknya saling mengaibkan antara satu sama lain secara terbuka .

Malah, Fauziah juga seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap puteri sulungnya yang didakwa mendedahkan hal dalam kain keluarga kepada umum sehingga dia kini seperti tidak mengenali siapa Shila atau Nurshahila Amir Amzah lagi.

Untuk anakku Nurshahila yang telah emak kandung di rahim pinjaman Allah ini selama sembilan bulan, yang telah emak lahirkan, susukan dan besarkan selama ini.

“Emak dah hilang kata-kata. Satu demi satu dugaan menimpa diri mak di usia yang tinggal sisa ini. Sungguh hanya Allah lebih mengetahui segala apa yang terjadi sekarang.

“Tulisan ini bukan untuk mengusik nama besar kamu dan bukan juga petanda emak ‘menangkan’ adik-adik,” katanya dalam hantaran Instagram.

Begitupun, menurut bekas isteri penyanyi dan pelakon Datuk ND Lala itu, selama ini dia mencurahkan perhatian sama rata kepada setiap anak-anak tanpa pilih kasih.

Tidak pernah ada sikap melebihkan anak yang mana biar ada yang terlebih terkurang itu ini.

“Allah tahu kasih sayang seorang ibu itu sama sahaja kepada setiap anak-anaknya biar mereka hebat, kaya, degil, nakal atau sebagainya,” ujarnya.

Membalas kepada dakwaan menantunya Ubai, Fauziah menafikan tuduhan yang mengatakan dirinya memaksa Shila bekerja sejak usianya kecil.

Wanita terbabit turut menepis kenyataan kononnya dia memeras keringat dan menggunakan hasil titik peluh penyanyi Patah Seribu itu demi menanggung seisi keluarga.

Nurshahila memang sudah bernyanyi sejak usia kanak-kanak tapi semua atas rela jiwanya sendiri tiada paksaan.

“Mungkin, apa yang mak korbankan ke sana sini menemani Nurshahila hanya ‘kewajipan’ emak sebagai ibu. Mungkin tiada budi dan pengorbanan emak di situ.

“Mak bahagia dan bangga melihat kejayaan cita-cita anak yang diinginkan sejak kecil, mungkin segala sukses itu bukan doa dari mak,” ulasnya.

Menurut Fauziah lagi, segala jawapan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya sudah diketahui sendiri oleh Shila.

“Apakah lupa emak hanyalah seorang isteri yang taat dan menurut apa sahaja yang diatur oleh bapa Nurshahila? Apakah emak yang selama ini mengatur ekonomi keluarga?.

“Hingga duit tu dikatakan habis sampai kita sendiri tak tahu berapa keseluruhan jumlahnya. Kita berdua hanya di hantar ke China untuk berkerja. Tanyalah diri dan kamu tahu siapa yang menghabiskannya,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok