MENGGABUNGKAN penyanyi tiga negara termasuk Malaysia dan Indonesia, Konsert Galau yang bakal berlangsung di Singapura pada Disember depan akan menjadi penanda aras arena hiburan di kota singa.
Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, persembahan mega berkonsepkan ‘healing’ atau penyembuhan minda itu akan berlangsung selama dua hari dan merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara itu.
“Boleh dikatakan, konsert seumpama ini pertama kali direalisasikan di Singapura dengan menampilkan 10 artis solo dan berkumpulan dalam satu pentas.
“Sebagai penganjur, SAH Entertainment komited memastikan semua barisan penghibur beraksi menghiburkan peminat setia menerusi seleksi lagu galau masing-masing,” katanya.
Menurut Sufi yang juga penyanyi, penganjuran acara muzik mega di Singapore Expo itu secara asasnya membariskan penyanyi pilihan peminat.
“Pemilihan artis untuk konsert ini nanti bukan dibuat SAH Entertainment sahaja, sebaliknya kami ada unit jawatankuasa digelar SAHabat untuk menguruskan undian melibatkan pembabitan orang awam,” ujarnya.
Menurut Sufi, penyanyi Indonesia terdiri daripada Judika, kumpulan Noah, Setia Band, ST12, Cakra Khan, D’Masiv dan Kangen Band.
Kumpulan Insomniacks pula dari Malaysia manakala Sufi dan Taufik Batisah pula mewakili Singapura.
Bagaimanapun, kehadiran Noah menerusi persembahan mega itu kata Sufi sebagai penghargaan terhadap kumpulan Peterpan.
Ini bermakna, vokalis Noah, Ariel bakal membawakan seleksi hits daripada Peterpan istimewa buat pengikut tegar band itu.
Selain itu, jelas Sufi, penganjuran selama dua malam mempunyai keunikan tersendiri terutama kepada pencinta muzik serta konsert.
“Konsert dengan konsep penganjuran selama beberapa hari paling minimum dua hari sudah biasa dilakukan di negara jiran tetapi di Singapura masih dianggap baharu.
“Jadi saya sajikan inisiatif ini untuk mendidik warga Singapura apabila memperkenalkan konsep sebegini supaya mereka dapat berhibur dalam sebuah festival yang menghimpunkan ramai penyanyi,” tambahnya.
Mensasarkan kehadiran sekitar 12,000 penonton untuk dua malam iaitu pada 9 dan 16 Disember depan, peminat berpeluang memilih ruang berhibur mengikut tiga kategori disediakan.
Sementara itu, tiket pada harga dari $88 atau RM303 hingga $168 (RM578) dengan tawaran diskaun 10 peratus untuk pembelian dua malam boleh ditempah di www.sistic.com.sg. – HIBGLAM