Pengarah Gerak Khas Majed Saleh meninggal dunia

PELAKON dan pengarah Majed Saleh meninggal dunia disebabkan komplikasi sakit jantung pagi tadi.

Berita pemergian pengarah filem Syaitan Munafiq itu disahkan adik ipar Allahyarham yang juga penyanyi Shiha Zikir menerusi hantaran dalam Instagram.

“Assalamualaikum. Abang ipar Shiha, Abdul Majed Mohd Saleh kembali ke rahmatullah, sebentar tadi.

“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat arwah, semoga diampunkan segala dosa dan tergolong bersama golongan beriman. Amin Ya Allah,” tulisnya.

Pada hantaran berlainan dikongsikan, penyanyi itu memaklumkan seperti tidak percaya berdepan kehilangan ahli keluarganya.

“Masih tidak percaya… rasa nak padam hantaran tadi,” tulisnya lagi.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan waris penyanyi itu tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak berjawab.

Terdahulu,  Allahyarham Majed, 65, yang juga pelakon drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad dilaporkan kritikal apabila fungsi jantungnya tinggal 25 peratus sahaja pada Jun lalu.

Allahyarham menjalani pembedahan memasang perentak jantung di Hospital Serdang pada Jun lalu.

Sebulan kemudian Allahyarham dimasukkan ke hospital sekali lagi selepas mengalami lemah jantung dan masalah lain.

Isterinya, Nur Shida Mohd. Zikir, 43, memaklumkan suaminya dikejarkan ke Hospital Selayang kerana keadaan jantungnya lemah dan badannya bengkak sehingga menjejaskan fungsi hati serta buah pinggang.

Ketika hayatnya Majed pernah menjadi pengarah Gerak Khas selain membintangi filem Mekanik dan Kembara Seniman Jalanan, Bara, dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok