Alif Satar & The Locos maju bersama

SATU demi satu pencapaian dilakar kumpulan Alif Satar & The Locos sejak ditubuhkan pada 2018.

Bagi memperkukuhkan lagi jenama band itu, anggota kumpulannya  memutuskan untuk melancarkan album pertama.

Selain dapat memperkasakan jenama, Alif Satar selaku vokalis band itu berpendapat album boleh jadi sebahagian perkara yang dapat mengubah cara pemikiran penggiat seni.

“Buat album bukan kerana mahu kekal relevan semata-mata tetapi boleh mematangkan anak seni. 

“Kalau lancarkan single sahaja kita tak nampak kesilapan semasa menghasilkan lagu atau ketika persembahan. 

“Menghasilkan album adalah satu proses pembelajaran yang membolehkan kita kenal karakter diri kerana makan masa bertahun untuk disiapkan,” katanya. 

Berkongsi lanjut, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar itu mengakui banyak kejayaan dikecapi selepas bergerak dalam kumpulan.

“Menerusi band ini saya dapat meraih lebih banyak pencapaian berbanding sewaktu bergerak secara solo dan kini karier saya sedang meningkat. 

“Apabila bergerak secara berkumpulan, persembahan kami lebih matang hingga dapat beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) dan buat konsert jelajah.

“Metafora yang saya pegang adalah kalau mahu pergi lebih laju, bergeraklah seorang diri tetapi untuk pergi jauh berjalanlah bersama-sama dalam kumpulan,” katanya. 

ALIF Satar & The Locos turut dipilih sebagai penggiat seni pertama memulakan kempen Sayang Lokal.

Mengulas lanjut perihal album sulung, Alif Satar & The Locos menampilkan kelainan apabila pelancarannya dilakukan di atas kapal pelajaran, Genting Dream. 

Menurut Alif, untuk terbitan perdana ini mereka fokus kepada album digital terlebih dahulu. 

“Ikutkan hati memang mahu terbitkan album fizikal tetapi kami putuskan untuk fokus kepada digital dahulu. 

“Saya suka album fizikal kerana boleh tandatangan dan tulis ucapan. Namun, untuk produk sulung ini, mungkin tiada album fizikal, kalau ada pun jumlahnya terhad.

“Album ini memuatkan tujuh lagu iaitu Anugerah Terindah, LelakiXSempurna, LelakiXSempurna feat. Diandra Arjunaidi, TOXIC, Isteri, Hey! dan Senyum,” ujarnya.

Dalam masa sama, mereka turut melancarkan kempen Sayang Lokal bagi menyokong pelbagai inisiatif warga tempatan. 

Ini termasuk memberi peluang kepada bakat-bakat dan perniagaan tempatan dengan menyediakan platform tambahan di atas kapal pelayaran bagi meningkat kesedaran serta membolehkan mereka mencapai khalayak lebih luas dalam dan luar negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok