Nabila Huda buru roh Nyai Sunarti

TERPILIH menjayakan teater muzikal Lantai T.Pinkie karya agung Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang dianggap sebagai epitome pementasan menjadi tanda aras membanggakan dalam lipatan kerjaya seni Nabila Huda.

Menurut aktres yang pernah merangkul beberapa trofi pelakon wanita terbaik itu, menerusi watak Nyai Sunarti, dia yang mesra disapa Abil berpeluang mencuba sesuatu yang berbeza.

Tuturnya, menjayakan karakter tersebut sangat berbeza dengan watak yang pernah dipegang dalam mana-mana drama mahupun filem sebelum ini.

“Sejujurnya pernah terdetik dalam hati, bila agaknya hendak terlibat dengan pementasan teater sebab mahu ‘explore’ kemampuan diri selain beraksi di hadapan kamera.

“Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan daripada pengarah teater ini iaitu Siti Rohayah Atan dan benarlah bahawa doa termakbul itu memang wujud,” ujarnya.

Meskipun begitu, dia pernah mempersoalkan kemampuan dirinya untuk menjayakan karakter tersebut walaupun hanya terlibat dalam lima babak sahaja.

“Pada awalnya saya terfikir sama ada mampu atau tidak untuk jadi Nyai Sunarti sebab watak dia sangat berat, perlu menari pula.

“Namun, disebabkan ingin mencabar diri, saya terima sebab sudah jatuh hati dengan skrip dan sanggup tolak tawaran drama lain demi Nyai Sunarti,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

NABILA mengakui watak Nyai Sunarti dalam teatermuzikal Lantai T. Pinkie merupakan karakter paling sukar untuk dijiwainya sepanjang dua dekad bergelar anak seni. 

Bercerita lanjut, walaupun sudah lebih dua dekad memahat nama sebagai anak seni, Abil mengakui Nyai Sunarti merupakan watak paling sukar untuk dijiwainya.

Katanya, Nyai Sunarti diibaratkan sebagai watak bertemu ruas dengan dirinya.

“Bukan sahaja perlu bermonolog dan menari yang hakikatnya sangat sukar, dialognya pula guna bahasa Indonesia.

“Sebelum ini kalau saya menjerit atau meraung dalam drama atau filem, tetap guna bahasa Malaysia tetapi kali ini berbeza.

“Sehingga hari ini saya masih mengejar ‘roh’ Nyai Sunarti. Setiap hari ‘overthinking’ dan sakit kepala sebab risaukan watak ini,” kongsi bintang filem Rahsia itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok