“‘BERIA-IA itu adalah diri sendiri dan bukan sahaja pentas GV, jika suruh menyanyi di stesen minyak sekali pun, saya akan lakukan perkara sama.”
Demikian pengakuan penyanyi, Naqiu yang akan bersungguh-sungguh setiap kali membuat persembahan tidak kira dalam apa juga acara, termasuk ketika bertanding di pentas Gegar Vaganza (GV).
Tutur Naqiu atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, perkara tersebut sudah menjadi kewajipannya setiap kali menyanyi bagi memberi persembahan yang berbaloi buat penonton.
Vokalis kumpulan Boboy itu berkata, dia melayan semua persembahan sama rata dan akan sentiasa memberi sepenuh jiwanya dalam nyanyian.
“Peminat sudah habiskan duit untuk bayar setiap produk yang saya keluarkan. Penganjur juga sudah membayar saya, jadi saya perlu berikan yang terbaik.,” katanya kepada HibGlam usai konsert All Stars GV (ASGV) minggu kedua semalam.
Mengulas mengenai persembahannya pada konsert minggu kedua ASGV yang dikatakan terlalu beremosi, Naqiu menerima pandangan juri dengan hati terbuka selain mengakui kesilapannya dalam menginterpretasi makna lagu yang disampaikan iaitu Setahun Sudah Berlalu dendangan asal kumpulan Alleycats.
“Saya paling takut jika ‘dibantai’ teruk dengan komen juri disebabkan persembahan kurang memuaskan namun saya akui salah membuat interpretasi lagu tersebut.
“Memang terbeban sebenarnya bila Tok Ram letakkan penanda aras yang tinggi terhadap saya.
“Apapun, saya okey dengan komen tersebut sebab semua yang nak disampaikan berjaya dilakukan,” jelasnya.
Semalam, Naqiu yang menduduki tangga ke lapan dalam senarai keseluruhan pemarkahan persembahan peserta ASGV menerima komen daripada Ramli MS bahawa dia terlalu beremosi ketika membuat persembahan sehingga terlupa untuk mendendangkan lagu dengan merdu.
Masih diberi kesempatan meneruskan perjuangan, Naqiu bakal mendendangkan lagu Santai milik Faizal Tahir pada konsert minggu ketiga ASGV Ahad depan. – HIBGLAM