Mimi Lana bukan anak pengarah Din Glamour

MELERAIKAN salah faham ramai, pelakon Mimi Lana tampil menyelar kenyataan seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai anak kandung kepada pengarah filem, Din Glamour yang kini terlantar sakit di sebuah hospital.

Meskipun menafikan dakwaan tersebut, Mimi atau nama penuhnya Roziana Zainal Abidin, 28, tetap mendoakan agar pengarah drama itu pulih daripada sebarang penyakit yang dihidapinya ketika ini.

“Walaupun saya tiada pertalian darah dengan abang Din (Din Glamour) tetapi saya doakan Allah SWT permudahkan segala urusannya.

“Semoga abang Din diberikan kekuatan dan kesembuhan dan pulih seperti biasa. Mudah-mudahan, insya-Allah amin,” katanya menerusi satu perkongsian dalam aplikasi X hari ini.

Hari ini tular sebuah video memaparkan Din atau nama penuhnya Sallehuddin Ridzuan kini dirawat di hospital akibat sakit paru-paru berair dan sesak nafas.

Dalam video tersebut, wajah Mimi yang sedang menadah tangan berdoa turut dimuat naik oleh individu terbabit dengan kapsyen yang mengundang salah faham ramai.

Sebelum aktif sebagai pengarah, Din terlebih dahulu bergelar pelakon dan membintangi beberapa buah filem seperti Mr. Os, Awang Spanar dan Adik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok