Zamani terharu, tak sangka raih undian ‘hot seat’ tertinggi

PENYANYI Zamani terharu dan gembira apabila mendapat undian tertinggi daripada peminat, sekali gus layak menempatkan dirinya sebagai kelompok 16 peserta All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10). 

Dengan meraih undian tertinggi sebanyak 11.11 peratus, Zamani atau nama lengkapnya Zamani Ibrahim, 53, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka layak duduk di kerusi ‘hot seat’ GV10 dan perlu bersaing dengan juara-juara Gegar Vaganza (GV) musim terdahulu.

Alhamdulillah. Saya masuk GV10 pun atas tiket undian peminat 100 peratus. Ramai yang mahu lihat saya menyertai GV10.

“Sebelum itu, saya sudah beritahu peminat tahap kemampuan saya memandangkan dalam pertandingan kali ini, saya perlu bertanding bersama juara-juara GV musim terdahulu.

“Tapi peminat kata tidak mengapa. Apa sahaja yang berlaku, mereka tetap akan menyokong saya,” ujarnya kepada HibGlam.

Ujar pelantun Gerimis Mengundang itu lagi, dia tidak banyak melakukan promosi untuk meraih undian daripada peminat. Namun mereka (peminat) sendiri yang mahu melihatnya berada di pentas GV.

“Saya pun tidaklah terlalu membuat hebahan atau mempromosikan diri. Sebab saya tidak berharap sangat dapat sertai GV10.

“Tapi bila pihak produksi menghubungi saya dan kata layak masuk GV10, saya sangat terharu dan gembira,” katanya.

Pada masa sama, bekas vokalis kumpulan Slam itu turut mengakui berasa sedikit tertekan apabila kembali bertanding dalam sebuah pertandingan. Namun dia berjanji akan melakukan yang terbaik mengikut tahap kemampuannya.

Bila kembali bertanding, sudah tentu tekanan itu ada. Jujur memang tekanan itu sangat tinggi. Bila saya datang untuk buat latihan pada Jumaat lalu, saya sudah mula rasakan tekanan itu.

“Tapi bila fikir secara profesional, saya kena bersedia untuk berdepan dengan kemampuan diri dan perlu akur,” ujarnya.

Ketika disoal tentang tahap kesihatannya ketika ini selepas menjalani oembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis, kira-kira sembilan bulan lalu, Zamani berkata 80 peratus keadaannya kini sudah beransur pulih.

“Alhamdulillah 80 peratus kesihatan saya sudah pulih. Untuk pastikan keadaan saya sentiasa baik, saya terpaksa menolak beberapa tawaran membuat persembahan luar untuk memberi tumpuan pada GV10.

“saya pun tidak tahu boleh kekal dalam pertandingan ini sehingga minggu ke berapa. Tapi untuk empat minggu pertama ini, memang saya kurangkan ‘show’ untuk fokus pada pertandingan,” katanya.

Selain Zamani, lima lagi bintang yang berjaya menduduki kerusi ‘hot seats’ GV10 ialah Ezad Lazim (4.48 peratus), Tomok (6.05 peratus), Suki (9.41 peratus), Liza Hanim (10.25 peratus) dan Nikki Palikat (10.43 peratus).

Konsert minggu pertama GV10 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  malam tadi menyaksikan penyanyi Naqiu mengungguli kedudukan tertinggi dengan markah sebanyak 80.7 peratus.

Tempat kedua pula menjadi milik Liza Hanim (79 peratus) dan diikuti Jaclyn Victor (71.5 peratus). Kedudukan terendah pula menjadi milik Cliff Umar dengan markah sekadar 50.5 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok