Hormati Maulidur Rasul, Konsert Milenia ditunda ke 25 November

KONSERT Milenia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 30 September ini ditunda ke tarikh baharu bagi menghormati sambutan Maulidur Rasul.

Pengarah Urusan Mission Sight, Jeffri Yaacob berkata, pihaknya menghormati pandangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu pertindihan tarikh, sekali gus menganjakkan konsert dangdut itu ke 25 November depan.

“Sebagai penganjur kami bertanggungjawab dan peka terhadap perkembangan semasa, lebih-lebih lagi dalam menjaga sensitiviti serta keharmonian masyarakat.

“Selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil pengurus artis serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mission Sight selaku penganjur menetapkan 25 November 2023 sebagai tarikh baharu.

“Lokasinya masih sama iaitu Stadium Malawati Shah Alam, malah perancangan menganjurkan karnival selama empat hari juga tetap diteruskan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Jeffri, pihaknya mengatur strategi untuk memeriahkan lagi acara yang julung kali diadakan dengan memperbanyakkan aktiviti membabitkan selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.

Malah, penundaan tarikh itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggandakan promosi Konsert Milenia bagi menarik pelancong ke negara ini.

“Penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai kita lihat secara positif apabila membuka ruang kepada labih ramai penonton untuk sama-sama memeriahkannya.

“Kami juga harap dapat menarik lebih ramai pelancong Indonesia serta peminat dangdut dari negara jiran termasuk Singapura dan Brunei.

“Siapa tahu selepas ini Konsert Milenia dapat dimasukkan ke dalam kalendar percutian hujung tahun mereka,” katanya.

Terdahulu, persembahan mega itu menggunakan nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, namun ditukar ke Konsert Milenia bagi mengubah persepsi negatif terhadap muzik dangdut.

Acara ini bakal menyatukan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia iaitu Amelina, Ani Mayuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rheyna Morena. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok