Saya ada ‘stage fright’, Nabil banyak ‘back up’ – Azeva

LAPAN minggu mengemudi program realiti, Big Stage Rocketfuel, bintang muda Azeva mengakui tugas sebagai seorang pengacara tidak semudah yang disangkanya sebelum ini.

Azeva atau nama penuhnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, berkata, seorang pengacara yang bagus perlu bijak mengendalikan setiap situasi berlaku di pentas dan harus petah berbicara mengenai pelbagai jenis topik.

“Sebenarnya nak jadi pengacara yang bagus, seseorang itu perlu bijak berbicara.

Orang tengok kerja pengacara nampak macam senang tetapi tidak sebenarnya sebab perlu tahu nak apa perkara yang hendak disampaikan setiap saat.

“Kemudian, saya perlu banyak berfikir tetapi nasib baik Nabil Ahmad banyak ‘backup’ setiap kali dia nampak saya tak reti nak cakap apa,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dia juga berterima kasih kepada mana-mana individu yang menerima baik gaya pengacaraannya walaupun mengakui pada awalnya masih kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri.

“Sejujurnya saya masih kurang yakin dengan diri sendiri tetapi bila ramai beri sokongan, perlahan-lahan saya bina keyakinan itu.

“Saya bersyukur sangat sebab ramai beri respons positif sebab risau sebenarnya orang terima atau tidak sebab sangat baru dalam industri ini.

Apa pun alhamdulillah kalau ada yang menerima tetapi jika sebaliknya, saya saya minta maaf dan akan perbaiki diri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, anak kepada penerbit, Datuk A. Aida dan penyanyi, Ameng Spring itu tidak terlepas daripada berdepan dengan perasaan gemuruh dan kegelisahan melampai sebelum naik ke pentas setiap minggu.

“Ada juga minggu yang rasa sangat berdebar sebelum naik pentas, sebab itu ada masa muka saya nampak lain kerana tekanan.

Tapi sebenarnya sejak sekolah lagi sudah ada ‘stage fright’ (gugup di atas pentas). Bila cikgu suruh buat persembahan, saya gemuruh sebab memang seorang introvert sebab tak pernah keluar rumah.

“Kemudian diminta buat persembahan depan orang ramai pula, memang sangat mendebarkan, tapi syukur semuanya berjalan lancar sepanjang lapan minggu di Big Stage,” kongsinya.

Dalam pada itu, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjadi hos dalam program tertentu sebaliknya akan terus meneroka dunia pengacaraan.

“Ketika ditawarkan untuk jadi hos Big Stage, pihak Astro minta saya jadi diri sendiri sebab mereka suka karakter sebegitu.

Jadi, kalau tanya mahu jadi pengacara jenis apa, saya hanya boleh cakap cuma mahu menjadi diri sendiri saja.

“Mungkin ramai cakap saya jenis ‘masuk air’ tetapi tidak begitu pun bila di atas pentas,” ujarnya.

Sebelum bergelar pengacara, dia merupakan bekas finalis TTMM2 bersama Hussain yang merupakan juara Big Stage Rocketfuel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok