‘Mana ada kasar, kalau nyanyian teruk saya takkan komen’

BERTINDAK atas dasar sebagai juri, maestro muzik Datuk Ramli MS menegaskan komen ‘pedas’ kepada peserta akhir Big Stage X Rocketfuel (BSR)  bertujuan  membantu memperbaiki kualiti nyanyian dan persembahan yang boleh dipraktikkan pada masa akan datang.

Menurut Ramli atau Ramli Mohd Salleh, 67, atau mesra disapa sebagai Tok Ram, dia tiada niat untuk menjatuhkan imej atau memperlekeh persembahan setiap peserta sebaliknya semua teguran tersebut adalah untuk menambah baik kelemahan sedia ada.

Terlalu kasar bukan bermaksud saya nak memperlekeh nyanyian mereka sedangkan saya beri pelbagai input dan mungkin disebabkan itu nampak mereka lakukan banyak kesalahan dalam persembahan.

“Sepatutnya mereka tahu semua info yang saya beri dan guna pakai untuk bertambah baik,” katanya ketika ditemui selepas program Big Stage X Rocketfuel, semalam.

Tambahnya, dia tidak akan memberi komen ‘meleret’ kepada mana-mana peserta jika persembahan yang diberikan kurang memuaskan hati dan perkara tersebut turut dipratikkan sepanjang menjadi juri program Gegar Vaganza (GV).

“Saya tak pernah komen kasar. Memang prinsip saya begitu, kalau orang itu nyanyi teruk, tak akan beri sebarang komen.

Sepanjang jadi juri GV, mana ada saya komen kasar apatah lagi nak marah-marah.

“Kalau saya tak nak komen, memang dia akan terkeluarlah,” katanya lagi.

Jelasnya, setiap komen yang diberikan bukan berniat untuk merosakkan mood atau persembahan peserta bertanding.

Dia juga tidak akan bersifat kedekut sekiranya setiap peserta menyuarakan pelbagai pertanyaan kepadanya mengenai kerjaya seni.

“Semua peserta masih baharu. Kalau saya hadir jadi juri pada konsert final, bukan bermaksud nak mencacatkan persembahan mereka.

Lagi banyak mereka bertanya, lebih banyak yang saya boleh kongsikan. Sebab mereka perlu sedar, bahawa mereka merupakan pelapis masa depan industri ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakannya menunjukkan kepala dan telinga ketika memberikan komen kepada salah seorang peserta, Danial Kifli yang dikatakan membawa tafsiran negatif, dia memberitahu perkara tersebut merupakan cara komunikasi profesional dalam kalangan penggiat seni.

“Sebagai contoh, ibarat awak pakai minda atau tidak?

Bukan nak cakap dia pekak atau atau tiada ini (otak) tetapi secara realiti dan profesional, orang muzik memang mendengar pakai minda, bukan telinga.

“Jangan salah tafsir bila saya kata ‘awak dengar pakai minda’. Memang orang akan fikir negatif sebab mereka tak tahu orang profesional muzik memang pakai minda,” jelasnya.

Semalam, Ramli hadir ke konsert final Big Stage Rocketfuel sebagai juri jemputan di samping barisan juri tetap iaitu Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok