DEMI impak terbaik, pelakon Aqasha terpaksa ‘mengorbankan’ beberapa tawaran lakonan lain bagi memberi fokus penuh terhadap watak Hang Tuah yang dipegangnya dalam pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang (PGLM) pada Oktober depan.
Aqasha, 43, berkata, jadual yang terlalu padat dengan pelbagai persiapan untuk pementasan teater tersebut adalah punca utama dia menolak tawaran lain sepanjang bulan Ogos sehingga November.
“Memang tiada laluan lain untuk buat ‘job’ selain PGL sebab jadual harian semua yang terlibat memang padat. Semua itu untuk memahirkan peranan masing-masing.
Banyak juga kelas yang disediakan dan kami ikuti termasuk kelas kardiovaskular untuk stamina, latihan vokal dan penafasan bagi memastikan setiap persembahan konsisten.
“Jadi, bila banyak tuntutan itu, saya rasa memang tidak boleh jalani penggambaran lain macam biasa. Memang semua tawaran itu terpaksa dikorbankan demi PGLM. Hang Tuah ‘demand’ sedikitlah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam pada itu, bagi memantapkan visual Hang Tuah, dia kini dalam usaha menaikkan berat badan agar dapat memiliki bentuk badan lebih tegap persis seorang pendekar.
Watak ini tidaklah ada tuntutan untuk buka baju tetapi saya tetap lakukan ‘weight training’ bagi mendapatkan sedikit otot supaya nampak ada sosok seorang pendekar.
“Selain itu, mungkin saya lebih memilih untuk rambut panjang sebab tak mungkin Hang Tuah pakai rambut palsu.
“Ada juga babak-babak yang memerlukan koreografi seperti bersilat dan berlawan. Jadi, saya memang perlu mempersiapkan diri daripada segi ‘fitness’ untuk memastikan adegan itu semua dapat dijayakan dengan baik,” jelasnya.
Dia juga berharap orang ramai merebut peluang membeli tiket yang bakal dijual bermula 18 Ogos depan bagi menyaksikan pementasan PGL yang akan menyaksikan dua bintang iaitu Mila Mohsin dan Aisha Retno menjayakan watak Puteri Gunung Ledang.
“Jadi, pergilah tonton PGL kali ini dan lakonan saya sebagai Hang Tuah nanti. Mungkin akan lebih dinamik berbanding lakonan pada pementasan 20 tahun lalu.
“Pembaharuan kali ini juga seperti yang khalayak sudah tahu iaitu ada dua Puteri, iaitu Aisha dan Mila.
Saya percaya peminat teater akan sanggup datang untuk menonton kedua-dua versi kerana Puteri yang berbeza. Ini juga adalah salah satu daya tarikan yang baru untuk penggemar teater yang belum pernah menonton PGL,” tuturnya.
Diterbitkan Enfiniti dan dipersembahkan oleh Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square sebagai produksi pembukaan utamanya, muzikal berkenaan bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.
Turut membarisi produksi itu ialah Mimi Fly, dan Nadia Aqilah sebagai Bayan, Luqman Hafidz (Sultan Melaka) serta Yusof Hashim (Gusti Adipati) yang bakal menghidupkan kisah cinta, pengorbanan dan takdir yang menjadi nadi kepada karya tersebut.
Jualan tiket bakal dibuka dengan tempoh tempahan eksklusif selama 72 jam untuk pemegang kad AFFIN bermula pukul 8 malam pada 18 Ogos, sebelum jualan kepada orang ramai dibuka pada 21 Ogos. – HIBGLAM
