Saya bergantung nyawa dengan Farid – Diana Danielle

 “HANYA dia sahaja yang mampu melindungi saya dalam segala perkara. Jadi, bila dia tiada siapa yang boleh jaga saya dan anak-anak?”

Demikian luahan aktres Diana Danielle tentang kesukaran yang dilalui tanpa suami tercinta, Farid Kamil di sisi.

Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 32, memaklumkan aura positif yang dimiliki Farid mampu menenangkan emosinya.

“Dalam sesetengah perkara dalam hidup, saya bergantung nyawa dengan Farid kerana dia ada satu aura yang sangat tenang.

“Saya pula lebih kepada tidak aktif dan beremosi. Contohnya, kalau dia keluar bekerja sebulan dua, saya boleh rasa aura itu berkurang dalam rumah.

“Saya rasa hilang tempat bergantung, boleh jadi sangat sedih dan sedar betapa dia sangat bermakna dalam hidup ini,” katanya dalam satu temu bual program audio siar (podcast) sebuah produk.

Selain itu, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata dalam pada sibuk menggalas tanggungjawab dan memikirkan kepentingan orang lain, seorang isteri perlu menghargai masa untuk diri sendiri.

“Apabila kita selalu fikir mengenai tanggungjawab dan fikir mengenai orang lain,  kita juga perlu harga masa untuk diri sendiri.

“Belajarlah jadi diri sendiri sebab saya percaya Allah akan tarik semua yang kita ada dalam sekelip mata,” ujar pelakon filem Imaginur itu.

Sebelum ini, Farid mendedahkan sudah rujuk kembali dengan Diana pada 31 Ogos lalu selepas bercerai menerusi Google Meet pada 10 Ogos lalu.

Terdahulu, Diana dan Farid bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan mereka diserikan dengan dua zuriat iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok