Saya jumpa pakar psikiatri, hadiri sesi kaunseling – Bella Astillah

Berdepan tekanan, Bella Astillah pernah jumpa psikiatri

PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah mendedahkan pernah mendapatkan bantuan pakar psikiatri serta menjalani sesi kaunseling selama lapan tahun lalu ketika berdepan fasa paling sukar dalam hidupnya.

Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 33, berkata, keputusan itu diambil demi menjaga kesihatan mental, namun dirahsiakan kerana bimbang berdepan stigma negatif masyarakat.

“Sebenarnya tak ramai orang tahu, saya pernah melalui hari yang sangat sukar dan saya memilih jumpa pakar psikiatri.

Saya pergi ke beberapa sesi kaunseling berseorangan, setiap sesi adalah sejam sehingga sejam setengah.

“Ketika itu saya tidak berkongsi dengan sesiapa mahupun di media sosial. Kadang-kadang orang akan cepat menghukum dan menilai. Saya tak mahu bila saya kongsi, nanti spekulasi bertambah,” katanya ketika diundang sebagai tetamu di sebuah majlis.

Pada masa sama, tunang kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berharap orang ramai agar jangan malu mendapatkan bantuan profesional andai berdepan masalah kesihatan mental.

Tak semestinya bila jumpa pakar psikiatri kita tidak waras. Sebenarnya kita sayang pada diri kita. Jangan cepat menilai dan jangan dapatkan bantuan di tempat yang salah.

“Bukanlah bergantung pada manusia, tetapi sebagai manusia kita perlu ikhtiar dan berusaha,” ujarnya.

Bella turut berharap masyarakat dapat mengubah persepsi terhadap rawatan kesihatan mental daripada pakar yang hakikatnya merupakan langkah berani demi kesejahteraan diri.

Tambahnya lagi, tindakan sedemikian adalah satu keperluan, bukan perkara yang harus dipandang serong atau dipertikaikan.

Menerusi ruangan komen ramai netizen memuji perkongsiannya yang membuka mata ramai mengenai kesejahteraan kesihatan mental.

“Semoga Bella menjadi wanita inspirasi yang bangkit semula dengan semangat juang tinggi tanpa meratapi nasib diri untuk mencapai kesempurnaan kehidupan,” tulis netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok