‘Terkapai-kapai tengah lebuh raya tunggu bantuan, dia ‘blah’ lepas langgar’ 

MALANG tidak berbau buat pelakon sensasi, Abby Abadi apabila kenderaannya dilanggar arah belakang ketika dalam perjalanan pulang ke ibu negara dari Singapura.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, tidak menyedari dilanggar kerana menyangka tayar keretanya pecah.

“Dalam perjalanan balik Kuala Lumpur (KL) dari Singapura. Leka mencari tempat nak solat Subuh.

“Tiba-tiba ada yang langgar dari belakang! Memang terkejut sangat-sangat.

Mula-mula ingat tayar pecah. Berhenti tepi ada abang motor datang, kata ada kereta lain langgar tapi serius, saya  tak sedar sebab dalam gelap,” katanya dalam Threads.

Bercerita lanjut, anggota kumpulan Elite itu meluahkan rasa kesal apabila individu yang didakwa melanggarnya beredar tanpa bertanggungjawab atas kecuaiannya.

“Dipendekkan cerita, pemandu kereta yang langgar itu datang tengok gitu gini, lepas itu dia cakap tuntut insurans.

Nak buat macam mana lagi. Selepas itu dia cakap ‘Okey la ya kak’ dan dia ‘blah’.

“Kami kereta tak boleh jalan, terkapai-kapai tengah lebuh raya ini tunggu bantuan Plus Malaysia Berhad (Plus). Macam itu saja ke kalau dah langgar orang?,” soalnya.

Menerusi foto yang dikongsikan Abby, kereta yang melanggar kenderaannya adalah jenis Perodua Myvi yang dilihat rosak teruk pada bahagian kiri hadapan.

Manakala, keretanya kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard turut remuk di bahagian bawah kanan akibat pelanggaran tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok