[VIDEO] Kongsi video isteri berhijab, Haqiem Rusli minta doakan yang baik

SELEPAS sekian lama tidak berkongsi foto isteri tercinta, Anis Sofea dalam Instagram selepas wanita terbabit mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab, penyanyi Haqiem Rusli menarik perhatian peminatnya apabila memuat naik video pasangannya itu yang manis bertudung.

Lebih menarik perhatian adalah kapsyen ditulis Haqiem yang meminta peminat mendaokan perkahwinannya.

“Sayang Akem (Haqiem), tidak kira bagaimana sakitnya, bersabarlah. Keadaan akan menjadi lebih baik.

“Awak melalui fasa naik turun bersama saya. Kami sayang awak. Saya cintakan awak. Doakan untuk kami yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Dengan menggunakan muzik latar lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Afghan, kelihatan Anis cantik bertudung ketika berada di sebuah kedai makan yang terletak di tepi jalan.

Dalam ruangan komen, ramai mendoakan kebahagiaan rumah tangga penyanyi itu bersama isterinya.

Malah, perkongsian pelantun lagu Tergantung Sepi itu turut menerima komen daripada ibunya, Nazrah Nordin yang mendoakan kesejahteraan anak dan menantunya.

“Mak sentiasa doakan yang baik-baik untuk kedua-dua anak mak. Amin. Cantiknya begini (bertudung),” ujar Nazrah.

“Hebat kau Haqiem bila mengutamakan Allah SWT dan syariat agama. Setelah sekian lama, akhirnya kau kongsi gambar isteri dalam Instagram dalam keadaan cantik menutup aurat. Hebat. Semoga Allah terus memberkati segala urusan kau. Amin,” ujar seorang pengikutnya.

“Cantik kalau bertudung. Semoga istiqamah dan dipermudahkan urusan kamu berdua,” ujar seorang lagi netizen.

Dalam satu laporan Kosmo! pada April lalu, Haqiem atau nama lengkapnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, mengakui dirinya berada dalam fasa menempuh ujian rumah tangga sususlan tindakan isterinya tidak lagi berhijab.

Meskipun enggan memperincikan lebih lanjut, Haqiem dilihat lebih bersikap profesional selain enggan cepat melatah dengan pelbagai dakwaan yang dilemparkan.

“Saya tidak boleh komen tentang ini. Saya rasa ini private life (kehidupan peribadi) dan saya hendak mereka (peminat) tahu, saya sudah buat sehabis baik untuk menjadi suami yang baik.

“Sebagai suami, saya bagi dia (isteri) masa, saya tak nak memaksa (isteri memakai hijab) tetapi akan cuba sehabis baik untuk menambah baik,” katanya.

Terdahulu, pasangan sejoli itu disatukan sebagai suami isteri pada 19 November 2021 selepas dua tahun mengenali hati budi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok