‘Saya terbuka bawa pelbagai watak, tapi bukan yang pelik-pelik’

MASIH hijau dalam dunia lakonan, penyanyi Zaki Yamani terbuka untuk memegang pelbagai jenis watak namun masih belum bersedia sekiranya ditawarkan karakter lelaki songsang.

Zaki, 20, berkata, dia mahu mendalami dahulu dunia lakonan yang baru diceburinya sebelum menjayakan watak berat sebegitu.

“Saya terbuka untuk bawa pelbagai watak. Kalau buat benda yang diminati, kita tak akan memilih sebenarnya. Begitu juga dengan nyanyian.

“Namun, jangan tawarkan watak yang pelik-pelik. Mungkin saya belum bersedia lagi untuk membawa watak lelaki songsang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dia bagaimanapun bersedia untuk memegang peranan lain seperti  pelajar atau yang lebih bersesuaian dengan imej dan karakternya.

“Kalau watak pelajar atau budak nakal, saya okey walaupun muka  tak nampak nakal sangat.

“Saya akan sahut apa sahaja cabaran cuma watak pelik-pelik belum lagi, terlalu awal untuk saya lakonkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia teruja apabila diberikan peluang membintangi filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.

Ujar Zaki, Tiket Sehala menjadi platform pertamanya mempamerkan bakat lakonannya kepada umum.

“Sudah lama saya nak cuba berlakon sebab memang minat, jadi Tiket Sehala  langkah pertama saya dalam bidang ini.

“Kalau ada tawaran lain selepas ini, saya tidak akan tolak selagi skripnya bersesuaian atau menganggu jadual kerja,” jelasnya.

Selain Zaki, Tiket Sehala turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Sakinah, Noki K-clique, Jaaa Suzuran dan Ainee Mustafa.

Filem yang mengangkat itu sindiket penipuan kerja itu turut menggabungkan pelakon dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok