Netflix disaman RM428 juta, punca salinan filem dicuri

GERGASI penstriman, Netflix berdepan saman sekitar RM428 juta (AS$105 juta) selepas didakwa cuai sehingga menyebabkan salinan digital filem yang belum ditayangkan, Fortitude, dicuri dari pejabat syarikat itu di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Saman itu difailkan penulis dan penerbit, Simon Afram bersama syarikatnya, Op-Fortitude, di Mahkamah Persekutuan California pada minggu lalu atas dakwaan insiden tersebut menjejaskan nilai komersial filem berkenaan.

Fortitude merupakan naskhah genre thriller Perang Dunia Kedua dibintangi Nicolas Cage dan Ben Kingsley itu dihantar ke pejabat Netflix pada 15 Jun lalu untuk tujuan penilaian hak pengedaran.

Menurut tuntutan itu, Netflix gagal memulangkan semula storan Digital Cinema Package (DCP), sebelum seorang eksekutif syarikat memaklumkan menerusi e-mel bahawa pemacu digital tersebut dicuri bersama beberapa pemacu lain.

Afram yang dikatakan melabur lebih RM183 juta (AS$45 juta) sepanjang tujuh tahun pembikinan filem terbabit berhujah kehilangan salinan berkenaan juga menyukarkannya menjual hak pengedaran kepada mana-mana pihak selain dikhuatiri tersebar di laman cetak rompak.

“Nilai filem ini bergantung dengan ketara pada eksklusiviti tayangan pertama yang belum dikeluarkan.

“Kehilangan kawalan Netflix ke atas filem itu memusnahkan eksklusiviti itu dan dengan teruk, jika tidak sepenuhnya, mengurangkan potensi komersial filem itu,” tulis tuntutan mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, Netflix menafikan bertanggungjawab terhadap kehilangan itu dengan alasan filem berkenaan dihantar tanpa perlindungan keselamatan mengikut piawaian industri.

Pihak syarikat turut memaklumkan sudah menjalankan siasatan menyeluruh selain memantau laman cetak rompak bagi mengesan sebarang pengedaran haram filem berkenaan.

Bercakap kepada CBS News, seorang jurucakap Netflix menafikan dakwaan dalam saman itu.

“Netflix tidak bersetuju dengan sebarang hujah bahawa syarikat itu harus bertanggungjawab atas kehilangan filem yang ditayangkan tanpa langkah keselamatan standard industri,” katanya.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan isi kandungan Fortitude tersebar di laman maya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok