‘Masih ‘hijau’, saya tak boleh demand bayaran’

MESKIPUN pernah menimba pengalaman beraksi dalam industri perfileman India, pelakon Irfan Zaini enggan meletakkan harga tinggi bagi tawaran lakonan di tanah air.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, fokus utamanya adalah untuk membina portfolio serta mengukuhkan bakat menerusi pemilihan naskhah yang berkualiti.

“Fasal bayaran saya, rasanya saya tak ada dekat tempat yang boleh ‘demand’. Saya baru juga.

“Jadi saya lagi memilih watak dan skrip. Saya rasa saya utamakan benda itu lebih daripada bayaran yang saya dapat,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya Terbang, semalam.

Pada masa sama, bintang filem Blood Brothers itu mengakui bayaran pelakon di India sememangnya lebih tinggi memandangkan peruntukan besar yang dilaburkan untuk menghasilkan sesebuah filem atau drama.

“Macam saya katakan, peruntukan menghasilkan filem di India jauh lebih besar, lebih kurang RM400 juta jika dibandingkan Malaysia.

“Jadi, tentu sekali bayaran pelakon lebih mahal kerana kita maklum betapa besar bayaran pelakon di sana,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Irfan menyifatkan peluang beraksi dalam produksi negara berkenaan sebagai satu pencapaian peribadi yang amat bermakna buat dirinya.

“Seorang pelakon kerdil seperti saya amat susah untuk tembusi pasaran filem India, untuk dapatkan satu babak sahaja amat payah.

“Bayangkan betapa bersyukurnya saya apabila diberikan watak dalam filem itu. Itu bukan pencapaian yang kecil.

“Pengalaman berlakon di India banyak mengajar saya. Apatah lagi berlakon dalam set penggambaran yang cukup besar,” kongsinya.

Sebelum ini, Irfan membintangi beberapa filem Tamil termasuk Kuruvi pada tahun 2008, The Greatest Of All Time (2024) dan Jana Nayagan (2026). – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok