‘Setiap orang ada ‘tipping point’, masa saya akan tiba’ 

PELAKON Ali Reza mengakui pernah berasa tertekan apabila namanya tidak menyerlah seperti rakan seangkatan namun memilih enggan membandingkan perjalanan kariernya dengan orang lain.

Ali atau nama lengkapnya Ali Reza Kavoossi, 29, berkata, sikap gemar membandingkan diri hanya membuatkan seseorang terus terperangkap dalam perasaan negatif.

“Dulu memang saya fikir juga perkara itu, tetapi lama-kelamaan sedar saya ‘overthinking’. Sekarang saya anggap semua ini sebagai satu perjalanan.

Kalau kita asyik tengok orang lain lebih popular, lebih ramai pengikut atau lebih cepat berjaya, kita tak akan ke mana. Saya percaya setiap orang ada perjalanan dan rezeki masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas sidang media drama bersiri Bulan Henti Bicara, semalam.

Menurut Ali,  enam tahun bergelar anak seni mematangkan dirinya kerana setiap naskhah yang diterima memberikan pengalaman baharu dalam hidupnya.

“Menjadi pelakon banyak mengajar dan mematangkan saya. Hampir semua pengalaman hidup saya datang dari set  penggambaran.

Saya percaya setiap tawaran baharu adalah satu pengembaraan dan pengalaman yang akan menjadikan saya lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemunculan pelakon seangkatan yang semakin menyerlah, Ali berkata dia tidak pernah iri hati, sebaliknya percaya setiap anak seni mempunyai detik tersendiri untuk bersinar.

Setiap orang ada ‘tipping point’ masing-masing. Ada yang cepat menyerlah, ada yang mengambil masa. Saya percaya masa saya juga akan tiba.

“Saya hanya mahu buat kerja dengan jujur dan ikhlas. Itu lebih penting daripada memikirkan siapa lebih popular,” katanya.

Dalam masa sama, Ali mengakui sebelum ini dia mungkin terlalu selesa dengan watak yang diterima, namun kini lebih terbuka untuk mencabar kemampuan lakonannya.

Bila dapat watak seperti sekarang, saya terus terima sebab bukan selalu ada peluang. Saya mahu orang nampak saya bukan sekadar boleh bawa watak romantik, tetapi mampu memikul pelbagai karakter.

“Mungkin sebelum ini saya tidak diberi naskhah yang benar-benar mencabar, tetapi sekarang saya mahu terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Ali bersyukur apabila rezekinya semakin murah apabila menerima tawaran lakonan tanpa henti sejak September tahun lalu.

“Alhamdulillah, dari September hingga sekarang saya bekerja tanpa henti. Memang penat dari segi fizikal, mental dan emosi, tetapi inilah perjalanan yang saya perlukan untuk terus berkembang sebagai pelakon.

Alhamdulillah, kebanyakan tawaran yang saya terima juga sebagai watak utama dan saya anggap itu satu kepercayaan yang perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Menerusi drama Bulan Henti Bicara, Ali membawakan watak Afgan iaitu kekasih kepada Zulfa lakonan Ezzanie Jasny yang dipaksa menjadi isteri kedua lelaki kaya, Jamali (Azhan Rani).

Naskhah arahan Eyra Rahman juga membariskan pelakon Azar Azmi bakal bersiaran di slot Melodrama Astro bermula 27 Julai ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok