TIDAK senang duduk, pelakon Azhan Rani mengakui kehilangan haiwan kesayangan yang diberi nama Kilau sejak awal pagi tadi membuatkannya dilanda kebimbangan.
Menurut Azhan, 49, dia sukar menumpukan perhatian ketika ini disebabkan terlalu risau memikirkan keadaan kucing British Longhair kelabu gelap yang diharap pulang dengan selamat.
“Hati saya tak tenteram selagi Kilau tak dijumpai. Tadi atas pentas pun fikiran saya melayang. Selepas ini saya kena pergi ke set penggambaran. Tak tau macam mana nanti.
Sebelum ini Kilau pernah terlepas keluar ke rumah jiran. Tapi dia balik semula sebab tidak mampu memanjat pagar yang tinggi.
“Jiwa saya sekarang memang dekat situ. Kalau saya nampak diam atau termenung, sebenarnya saya sedang fikirkan Kilau,” katanya ketika ditemui selepas sidang media drama bersiri Bulan Henti Bicara, hari ini.
Akui Azhan lagi, Kilau yang kini berusia sekitar enam tahun merupakan kucing pemberian seseorang dan sangat rapat dengannya sehingga menjadi ‘jam loceng’ setiap hari.
“Saya ada dua ekor kucing. Seekor lagi Maine Coon tapi Kilau paling rapat sebab tidur sekali. Setiap pukul 4 pagi dia akan kuis-kuis muka saya minta makan.
Saya balik sekitar pukul 12.30 malam tadi. Kilau ada di stor dan pintu bilik mesin basuh terbuka sedikit. Cuma malam tadi saya terlalu letih dan biarkan dia di situ.
“Jadi bila saya terjaga sendiri dan turun bawah waktu subuh, saya rasa ada yang tak kena sebab dia tiada. Saya tengok pintu belakang sudah terbuka,” ujarnya.
Ahli keluarga Azhan masih giat mencari kucing yang dibela sejak lima tahun lalu itu dengan membuat hebahan dalam grup komuniti kawasan perumahannya.
Kalau ada sesiapa jumpa Kilau, tolong hubungi saya. Insya-Allah kalau mampu saya akan bagi ganjaran, asalkan dapat balik kucing saya.
Pagi tadi, aktor terbabit memuatnaik hantaran berkaitan kehilangan kucingnya di Instagram dan Facebook minta bantuan orang ramai. – HIBGLAM
