Lima filem antarabangsa tayang keunikan Malaysia

MINGGU ini viral dalam media sosial apabila pelakon terkenal Hollywood iaitu Mark Walberg dilihat menjalani penggambaran filem terbaru terbitan Netflix berjudul The Big Fix di Pulau Pinang.

Selain Mark, filem arahan Baltasar Kormakur itu turut dibintangi Riz Ahmed dan pelakon kelahiran Malaysia, Nuha Jez Iman.

Warga tempatan juga dilihat tidak melepaskan peluang merakam video di set penggambaran serta mengambil foto kenangan bersama bintang filem Transformers itu.

Namun, ini bukanlah kali pertama produksi antarabangsa seperti Hollywood memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

Sebelum ini sudah ada banyak filem sama ada Hollywood, Bollywood, Tollywood mahupun Hong Kong yang menjalani penggambaran di Malaysia.

Anna And The King

Filem yang diterbitkan pada 1999 ini menjalani hampir seluruh penggambaran di Malaysia melibatkan beberapa lokasi antaranya Pulau Pinang, Langkawi dan Ipoh.

Menampilkan Jodie Foster dan Chow Yun Fatt sebagai pelakon utama, filem itu juga turut dibintangi ramai pelakon tempatan.

Antara yang terlibat ialah Deanna Yusof, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Zaibo dan Ellie Suriaty.

Police Story 3: Supercop

Francais filem aksi terkenal dari Hong Kong ini diterbitkan pada 1992 menampilkan pelakon terkenal Jackie Chan dan pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh.

Filem ini menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan itu menjadi salah satu faktor pelakon utamanya iaitu Jackie Chan dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2015.

Crazy Rich Asian


TERSENARAI antara filem Hollywood popular, Cazy Rich Asian menjadi antara kebangsaan Malaysia apabila bukan hanya dilakonkan anak Malaysia, Henry Golding, Tan Sri Michelle Yeoh dan Carmen Soo, beberapa latar penting dalam filem yang turut menampilkan Coy Yu Fatt itu seperti Langkawi, Carcosa Seri Negara, Pulau Pinang, cukup untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia cukup unik bukan hanya disebabkan keharmonian rakyat berbilang bangsa dan keunikan budaya, malah memiliki lokasi indah yang mampu dijual sebagai tarikan pelancongan.

Thunderbolts


Filem adiwira terbitan Marvel ini mencuri perhatian ramai kerana memaparkan babak di bangunan ikonik Menara Merdeka 118.

Dibintangi Florence Pugh, filem arahan Jake Schreier itu dipuji ramai kerana tidak menggunakan ‘filter’ kuning untuk babak yang membabitkan Malaysia.

Blackhat

Filem Hollywood yang diterbitkan pada 2015, Blackhat menampilkan pelakon terkenal Chris Hemsworth dan Viola Davis.

Diarahkan Michael Mann, filem ini menjalani penggambaran selama lima minggu di Malaysia melibatkan beberapa lokasi antaranya Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pangkor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok