PELAKON Kamal Adli diumumkan sebagai hos baharu program Melodi menggantikan tempat Fikry Ibrahim yang berundur baru-baru ini.
Kamal atau nama penuhnya Ahmah Adli Ahmad Kamal, 44, bersyukur atas rezeki dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengendalikan program tersebut di samping pengacara sedia ada, Ain Edruce.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT beri rezeki dan peluang kepada saya.
Terima kasih kepada pihak TV3 dan Melodi bagi peluang ini kepada saya untuk bekerja bersama Ain Edruce yang sebelum ini pernah bekerja dengan dia,” katanya semasa sidang media Melodi Terhangat, hari ini.
Dalam masa sama, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu berjanji akan melakukan yang terbaik sebagai hos.
“Insya-Allah saya akan menonjolkan bakat saya, apa yang boleh saya beri dan sumbangkan dalam industri serta Melodi.
“Saya akan bagi yang terbaiklah,” katanya lagi.
Difahamkan, Kamal sudah menandatangani kontrak selama tiga tahun sebagai hos Melodi.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, mengumumkan penamatan tugasnya sebagai pengacara Melodi semalam selepas dua tahun mengendalikan program tersebut.
Melodi pernah dikendalikan barisan selebriti hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Wahid Senario, Awal Ashaari, Nabila Huda dan Janna Nick. – HIBGLAM
