HANGAT perdebatan mengenai isu pembedahan plastik, pelakon Siti Khadijah Halim menasihatkan semua pihak agar tidak keterlaluan dalam memberikan ulasan atau kritikan.
Malah, Siti Khadijah, 29, tidak menafikan bahawa keinginan untuk melakukan perubahan pada wajah boleh wujud apabila seseorang itu memiliki sumber kewangan yang stabil dan kukuh.
“Saya tidak berada di tempat untuk bercakap tentang perbalahan orang lain. Siapalah saya untuk komen, tapi bagi saya jangan berkata lebih sebab kita pun tak tahu bila masa kita kena.
“Bila kita semakin dewasa, kita boleh berfikir tapi kadang-kadang wang pun boleh mengubah segala-galanya.
“Bila kita banyak duit, kita mungkin sedikit lalai dan nak naik taraf.
“Mungkin juga bila kita ada duit lebih kita pergi buat rawatan muka kemudian berubah ke arah nak buat dagu, kening atau macam-macam lagi,” katanya semasa majlis pelancaran perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What’s Next On Viu, semalam.
Dalam masa sama, pelakon siri popular From Saga With Love itu tidak menafikan faktor persekitaran memainkan peranan besar dalam mendorong segelintir pihak untuk mengubah penampilan fizikal mereka.
“Kadang-kadang benda sekeliling boleh mengubah kita.
“Jadi apa yang saya boleh cakap dan pesanan buat diri sendiri juga adalah jangan bercakap lebih sebab kita tak tahu kita akan ke mana,” katanya lagi.
Sering dipuji memiliki kecantikan semula jadi, Siti Khadijah bersyukur selain berharap orang ramai tidak melakukannya secara berlebihan.
“Saya ada Threads, tapi ramai juga kenalan saya yang tangkap layar dan hantarkan kepada saya, sanggup tau.
“Jadi, saya rasa sangat berterima kasih kepada mereka yang memuat naik. Saya rasa terharu tapi sebenarnya saya biasa sahaja.
“Tolong jangan ada ‘high expectation’ (jangkaan tinggi). Takut jumpa dalam kehidupan sebenarnya tiba-tiba lain,” ujarnya.
Selain mahu kekal merendah diri, dia juga tidak menafikan wujud rasa bimbang sekiranya pujian yang keterlaluan daripada peminat boleh mengundang penyakit ain.
“Takut, saya biasa-biasa saja. Jangan puji lebih-lebih, nanti naik jerawat.
“Penyakit ain ini serius. Kalau ada jerawat itu iyalah kot,” tuturnya.
Sebelum ini, Siti Khadijah sering dibanjiri dengan pujian mengenai kecantikannya yang dianggap memiliki wajah klasik. – HIBGLAM
