DEMI memenuhi tuntutan watak, pelakon Irfan Zaini mengakui rasa bersalah dan janggal apabila perlu melakukan babak sensitif iaitu mencabut jarum peniti pada tudung Zara Zya.
Bagaimanapun, atas paksi profesionalisme demi menghidupkan watak, pemilik nama lengkap Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, akur demi memberikan yang terbaik buat penonton.
“Pertama sekali, apabila berfikir sebagai Irfan akan jadi awkward (janggal). Rasa susah sikit sebab adik-beradik dan mak saya semua berhijab.
“Jadi, saya rasa bersalah sangat sebab macam sensitif. Tapi bila fikir sebagai watak, benda itu boleh buat netizen tertarik dalam episod itu, saya sanggup lakukan.
“Pengarah dan pelakon gandingan saya pun okey. Kadang-kadang pelakon gandingan tak selesa, kita tidak boleh buat,” katanya kepada HibGlam ketika majlis perasmian Astro Fandom, baru-baru ini.
Pada masa sama, pelakon filem Blood Brothers itu turut menegaskan kepentingan menghormati status pelakon gandingan sebelum memulakan sebarang babak bersentuhan atau sensitif di set penggambaran.
“Bila buat itu kena istighfar jugalah, takut walaupun lakonan sahaja. Tapi memang sampailah babak itu.
“Memang dari awal kita dah berbincang. Kalau pelakon saya rasa bukan drama ini saja, memang selalu tanya dulu.
“Contoh kalau dia dah kahwin, kena tanya suami dia dulu. Saya fikir itu cara terbaik untuk lakukan.
“Ini hanya lakonan dan pengajaran. Jangan buat begini atau jadi macam Faris,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Irfan memaklumkan perbincangan teliti dilakukan selama sejam bersama pihak produksi bagi menetapkan had sempadan agar tidak kelihatan melampau.
“Babak itu bukan idea saya. Saya beritahu pengarah saya sanggup buka butang baju saya sendiri tapi tak sanggup buka tudung.
“Kita duduk satu jam berbincang dengan penerbit, pengarah dan Zara. Pengarah kata tak apa, buka sahaja pin tudung, loceng akan ditekan, Datuk Adi Putra akan masuk.
“Saya pun okey, sebab itu saya muat naik belakang tabir. Tapi bila hasil keluar, orang suka dan faham,” jelasnya.
Irfan terlibat dalam drama Luka Di Hujung Setia bersama barisan pelakon lain seperti Datuk Adi Putra, Zara Zya dan Cahaya Nilam.
Gara-gara drama tersebut, dia sering menjadi sasaran kecaman netizen kerana keberkesanannya memegang watak Faris, seorang suami yang sanggup berlaku curang terhadap isterinya. – HIBGLAM
