Bintang K-pop lincah ‘menggelecek’ di padang

DEMAM bola sepak sentiasa menjadi fenomena luar biasa setiap kali kejohanan terbesar dunia membuka tirai.

Sorakan bergema di stadium, bendera berkibar megah dan jutaan peminat terpaku di hadapan layar televisyen demi menyaksikan aksi bintang pujaan menggegar padang hijau.

Di sebalik kehebatan sesebuah pasukan, kelibat kapten sering menjadi nadi utama. Bukan semata-mata menyarung lilitan di lengan, mereka memikul tanggungjawab besar mengatur strategi, meniup semangat rakan sepasukan serta menjadi individu pertama bangkit ketika pasukan berdepan tekanan.

Menariknya, aura kepimpinan bukan hanya lahir dalam dunia bola sepak profesional. Ramai idola K-pop turut memiliki bakat luar biasa di atas padang.

Sebelum bergelar penyanyi dan pelakon terkenal, ada antara mereka pernah mengetuai pasukan sekolah, kelab selebriti, malah menjadi tunjang utama dalam pelbagai kejohanan amal.

Kim Junsu

KIM Junsu menubuhkan FC MEN pada 2011 sebagai sub-unit rasmi kelab profesional Suwon Samsung Bluewings.

Sejak hari pertama, bekas anggota TVXQ dan JYJ
itu menggalas tanggungjawab sebagai kapten dan mengumpulkan ramai selebriti terkenal termasuk Doojoon, Gikwang, Woohyun dan Ji Chang-wook.

Sebagai penyerang utama bernombor 11, Junsu cukup dikenali dengan kepantasan larian dan naluri menjaringkan gol, malah sering mengetuai FC MEN menjelajah Jepun, Indonesia serta beberapa negara lain bagi menjayakan perlawanan amal antarabangsa.

Di bawah kepimpinannya, FC MEN muncul juara Jeju Peaceful Islands Celebrity Football Tournament 2011. Lebih membanggakan, Junsu dinobatkan sebagai penjaring terbanyak serta pemain paling bernilai (MVP).

Nam Woohyun

Dalam kalangan peminat sukan, Nam Woohyun cukup dikenali sebagai antara ‘soccer-dol’ legenda industri K-pop.

Sebelum memilih dunia nyanyian, idola berusia 35 tahun itu pernah bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional dan aktif sebagai atlet sekolah.

Impian tersebut akhirnya diketepikan selepas menyedari stamina dimiliki kurang mencukupi untuk bersaing d iperingkat profesional.

Minat terhadap bola sepak bagaimanapun tidak pernah padam. Bermula tahun 2015, dia menyertai kelab selebriti terkenal FC MEN sebagai penyerang utama.

Kelincahan di hadapan pintu gol sering membantu pasukan meraih kemenangan dalam kejohanan amal dan futsal selebriti.

Selain bergelar penyerang berbisa FC MEN, jejaka tinggi lampai itu turut mengetuai pasukan FC SHOT miliknya sendiri serta pernah memimpin FC Kluivert dalam perlawanan persahabatan.

Yoon Doojoon

Jika ada idola layak digelar raja bola sepak K-pop, nama Yoon Doojoon pasti berada di kedudukan teratas.

Sewaktu di sekolah menengah, idola berusia 36 tahun itu pernah berlatih sebagai pemain bola sepak rasmi sebelum mengubah haluan ke dunia hiburan selepas terinspirasi dengan BIGBANG.

Dia digelar ‘Ronaldo Dunia K-Pop’ selain dilantik sebagai Duta Kehormat K-League, sekali gus menerima keistimewaan memasuki semua stadium liga profesional Korea Selatan.

Dalam FC MEN, Doojoon menguasai posisi pemain tengah dengan visi permainan luas, fizikal mantap, kemahiran menggelecek serta tekel agresif. Kombinasi tersebut menjadikan dirinya antara nadi penting pasukan.

Dia sering mengadakan siaran langsung menonton aksi Piala Dunia menerusi saluran YouTube rasmi HIGHLIGHT, malah menitiskan air mata selepas Korea Selatan mencipta kemenangan dramatik di pentas antarabangsa.

Cha Eun-woo

Siapa sangka di sebalik wajah kacak, Cha Eun-woo pernah menjadi kapten pasukan bola sepak di sekolah menengah.

Fakta tersebut didedahkan menerusi program Problematic Men pada 2016. Bukan sahaja cemerlang dalam akademik, idola berusia 29 tahun itu turut menggalas jawatan ketua kelas, ketua pelajar, kapten pasukan bola sepak serta kapten pasukan bola keranjang pada zaman persekolahan.

Rekod akademiknya juga cukup mengagumkan apabila memperoleh kebanyakan gred A, pernah menduduki tempat ketiga keseluruhan sekolah selain meraih naib juara pertandingan debat dan bahasa Inggeris.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok