PENYANYI dan alumni Big Stage musim pertama, Wani Kayrie meluahkan rasa kesal gara-gara video muzik (MV) lagunya hanya disiarkan selama 2 saat dalam montaj pembukaan Big Stage Rocketfuel yang berlangsung semalam.
Berkongsi luahannya dalam Threads, Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 26, terkilan apabila kejayaannya tidak diperkatakan seperti alumni-alumni Big Stage yang lain.
“Teruja tengok montaj pembukaan Big Stage tunjuk pencapaian MV lagu semua alumni. Tapi MV lagu saya lalu 2 saat siap tak ada sebut pun tentang pencapaian jumlah tontonan macam kawan-kawan kita yang lain. Tak cukup berjaya ke?,” tulisnya.
Hantaran tersebut mendapat perhatian netizen dan juga rakan seangkatan yang dilihat memberikan kata-kata semangat buat pelantun lagu Chak Chak Cekuk itu.
“Wani kamu berada di laluan kamu sendiri. Semua orang sayangkan kamu,” demikian komen Aisha Retno yang merupakan salah seorang juri Big Stage tahun ini.
Netizen turut mendoakan lagu Cak Cak Cekuk bergelar juara di Anugerah Juara Lagu ke-40 yang akan berlangsung Ogos depan agar menjadi pembuka mata bagi mereka yang memandang rendah terhadap Wani.
Lagu Cak Cak Cekuk ciptaan Karim Karam menjadi fenomena tahun lalu dan sehingga kini sudah mencapai 15 juta tontonan dalam YouTube selain digunakan ketika sambutan Hari Kebangsaan 2025. – HIBGLAM
