PENYANYI Adira Suhaimi sentiasa mendoakan yang terbaik untuk bekas suaminya, Datuk Adnan Abu atau Datuk Red yang bakal mendirikan rumah tangga buat kali ketiga pada Julai depan.
Menurut Adira, 35, dia tumpang bahagia apabila mendapat tahu Datuk Red sudah bertemu jodoh dan akan kembali bergelar suami.
“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Datuk Red. Kebahagiaan, kesejahteraan dan kesihatan dia.
Semoga yang baik-baik untuk dia, insya-Allah. Kalau dia ada bertemu jodoh baharu pun, Alhamdulillah,” katanya kepada HibGlam di sini, hari ini.
Ditanya sama ada dirinya akan menghadiri hari bahagia bekas suami, Adira berkata, Datuk Red sebelum ini memaklumkan akan menjemput anak-anaknya terlebih dahulu.
Sepatutnya dia jemput anak-anak lebih awal. Tapi mungkin ada benda-benda yang belum diselesaikan.
“Apa pun kita doakan yang terbaik,” katanya lagi.
Hari ini, Datuk Red mengesahkan dakwaan bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya dikenali sebagai Rohanita pada Julai depan.
Terdahulu, Adira dan Datuk Red bercerai talak satu pada penghujung April 2024.
Sebelum itu, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM
