DEMAM Piala Dunia 2026 kini dirasai seluruh masyarakat global walaupun hanya 48 negara lolos sebagai pasukan yang bertanding pada musim ini.
Menyemarakkan lagi semangat pemain dan penyokong tegar bola sepak sudah tentu lagu antem yang rasmi setiap kali kejohanan terbesar itu berlangsung.
Musim ini, selain lagu Dai Dai nyanyian penghibur sensasi, Shakira bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy, Champions ciptaan penstrim tersohor asal Amerika Syarikat, IShowSpeed turut diiktiraf sebagai dendangan tidak rasmi FIFA yang dimuatkan dalam album Piala Dunia 2026.
Kejayaan anak muda berusia 21 tahun itu ‘menjual’ karyanya menerusi platform media sosial hingga meraih lebih 56 juta tontonan sejak dilancarkan pada 31 Mei lalu membuktikan kaki bola menyokong apa sahaja dendangan penyuntik semangat.

LAGU Champions ciptaan IShowSpeed turut diiktiraf sebagai dendangan tidak rasmi FIFA yang dimuatkan dalam album Piala Dunia 2026.
Terdahulu, Piala Dunia yang bermula sejak 1930 menyaksikan lagu rasmi pertama mula digunakan pada edisi 1962 dinyanyikan Los Ramblers berjudul El Rock del Mundial ketika Chili menjadi tuan rumah.
Gala minggu ini menyenaraikan lagu anthem Piala Dunia yang menyatukan seluruh masyarakat global dan masih berbekas di hati peminat sehingga ke hari ini.
The Cup of Life – Ricky Martin

Sebelum fenomena Shakira, penyanyi Latin Ricky Martin lebih dahulu mencipta sejarah menerusi The Cup of Life (La Copa de la Vida) yang menjadi lagu rasmi Piala Dunia 1998 di Perancis.
Lagu berentak Latin itu melonjakkan populariti Martin ke pentas antarabangsa selain dianggap antara ‘anthem’ Piala Dunia yang berjaya mengubah landskap muzik temasya sukan global.
The Cup of Life yang tulis oleh Desmond Child, Luis Gómez-Escolar dan Drobi Rosa, itu juga terus sukses menduduki carta teratas lagu di 30 negara.
Fenomena lagu itu melayakkan Martin membawa pulang trofi Best Latin Pop Performance dalam Anugerah Grammy ke-41 pada 1999.
Waka Waka (This Time for Africa) – Shakira

Diinspirasikan daripada lagu tradisional Afrika, Waka Waka dikatakan terilham daripada lagu popular Cameroon berjudul Zangaléwa yang dipopularkan kumpulan Golden Sounds pada 1986, bersama sentuhan pop dan elemen muzik Afrika.
Shakira bergandingan dengan kumpulan muzik Afrika Selatan, Freshlyground bagi memberikan identiti tempatan terhadap lagu tersebut. Penghibur sensasi itu menyampaikan lagu tersebut pada penutup Piala Dunia FIFA 2010 di
Stadium Soccer City, Johannesburg, sehari sebelum perlawanan akhir.
Dibawakan bersama grup Freshlyground dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol, Waka Waka terus menjadi fenomena global dengan jumlah tontonan lebih 4 bilion kali di saluran YouTube rasmi Shakira.
We Are One (Ole Ola) – Pitbull ft. Jennifer Lopez & Claudia Leitte

Lagu We Are One (Ole Ola) dipilih sebagai lagu rasmi kejohanan berprestij yang berlangsung di Brazil iaitu dilancarkan beberapa bulan sebelum kejohanan bermula.
Karya berkenaan merupakan kolaborasi tiga bintang antarabangsa iaitu dua aris Amerika, Pitbull, Jennifer Lopez dan penyanyi Brazil, Claudia Leitte bagi melambangkan perpaduan global melalui bola sepak.
Menampilkan elemen muzik tuan rumah, lagu itu turut menggabungkan rentak pop, dance dan samba, selain lirik dalam bahasa Inggeris, Sepanyol serta Portugis bagi meraikan budaya negara tuan rumah.
Dipersembahkan pada majlis pembukaan, ketiga-tiga penyanyi mempersembahkan We Are One (Ole Ola) pada majlis pembukaan Piala Dunia FIFA 2014 di Arena Corinthians, São Paulo. Ditonton lebih 900 juta tontonan di YouTube, catatan itu sekali gus menjadi judul berkenaan antara anthem Piala Dunia paling popular.
We Are The Champions – Queen

Ditulis vokalis Queen, lagu yang dilancarkan pada 1977 sebagai sebahagian daripada album News of the World bukan lagu rasmi Piala Dunia FIFA, namun paling sinonim dengan sambutan kemenangan dalam sukan termasuk bola sepak.
Penganjur Piala Dunia, FIFA dan pelbagai kejohanan bola sepak antarabangsa lain turut menggunakan lagu itu dalam montaj, siaran dan acara rasmi kerana statusnya sebagai lagu kemenangan malar segar.
Sehingga kini, We Are the Champions kekal antara lagu sukan paling ikonik sepanjang zaman dan sering disenaraikan bersama seleksi hits Piala Dunia seperti Waka Waka (This Time for Africa), The Cup of Life dan Wavin’ Flag, meskipun tidak pernah menjadi lagu tema rasmi kejohanan.
Bersandarkan kajian Goldsmiths University of London pada 2011, We Are the Champion terbukti secara ilmiah sebagai lagu paling ‘catchy’ atau mudah melekat di ingatan pendengar. – HIBGLAM
