BANYAK udang banyak garam, ramai orang banyak ragam. Begitulah perumpamaan realiti kehidupan manusia, setiap individu membawa prinsip, pegangan dan jalan hidup tersendiri tanpa perlu seragam.
Dalam dunia hiburan Korea Selatan, perkara sama turut berlaku. Di sebalik sorotan glamor dan imej sempurna, terselit sisi peribadi artis yang jarang didedahkan, termasuk soal kepercayaan terhadap agama.
Ada memilih untuk percaya, tidak kurang juga mengambil jalan berbeza, malah segelintir selebriti berani tampil mengaku tidak mempercayai kewujudan Tuhan – satu pengakuan berani dalam masyarakat penuh norma.
Walau berdepan persepsi dan kritikan, tetap berdiri dengan prinsip sendiri. Bagi mereka, kepercayaan bukan sesuatu dipaksakan, sebaliknya lahir daripada pilihan peribadi.
Kimchi Panas minggu ini merangkumkan beberapa selebriti K-Pop yang memilih hidup tanpa pegangan agama serta mempunyai pandangan tersendiri tentang kewujudan Tuhan.
Lee Min-ho

Figura tampan ini bukan sekadar pelakon popular, malah sering menjadi wajah utama drama fenomena Korea.
Personaliti sopan serta karisma memikat membuatkan ramai mengaguminya.
Namun di sebalik imej tersebut, Min-ho sebenarnya tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Baginya, kepercayaan terhadap agama dilihat tidak relevan dalam kehidupan peribadi.
Walaupun dibesarkan dalam keluarga beragama Buddha, jejaka berusia 38 tahun itu memilih jalan berbeza dengan tidak memeluk mana-mana agam.
Wendy

Turut tersenarai dalam Kimchi Panas minggu ini adalah seorang lagi anggota Red Velvet, Wendi yang turut berkongsi pandangan sama apabila memilih untuk tidak memeluk mana-mana agama.
Bagi idola berusia 32 tahun itu, kepercayaan adalah pilihan besar sepanjang hayat. Dia enggan terikat dengan mana-mana pegangan kerana tidak mahu hidup dalam batasan tertentu.
Baginya, kehidupan perlu dilalui dengan bebas tanpa tekanan daripada kewajipan agama.
Pun begitu, Wendy tetap menghargai momen bersama keluarga termasuk menyambut Hari Natal, membuktikan bahawa ketiadaan agama tidak bermakna menolak nilai kekeluargaan.
San

Penyanyi San tampil berani mengakui dirinya seorang ateis, malah dalam satu kandungan video bersama rakan sekumpulan, dia menyatakan kepercayaannya terletak pada diri sendiri.
Bagi anggota kumpulan ATEEZ itu, prinsip hidup tidak bergantung kepada doktrin agama. Nilai kemanusiaan seperti empati, kebaikan dan hormat lahir daripada hati, bukan daripada peraturan ditetapkan.
B.I

Bekas anggota iKON ini juga memilih jalan sama apabila tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Dilahirkan dalam keluarga Buddha, latar belakang tersebut tidak mengubah pendiriannya.
Pemilik nama sebenar Kim Han-bin itu mengakui lebih selesa hidup tanpa agama, namun dia tetap mengamalkan doa walaupun tidak pasti kepada siapa permintaan tersebut ditujukan.
Dalam pengakuan terbuka, idola berusia 29 tahun itu menyatakan dirinya terus berdoa dengan harapan ada ‘sesuatu’ mendengar, meskipun tidak mengetahui kewujudan entiti tersebut.
Seulgi

Anggota kumpulan Red Velvet ini membesar dalam keluarga penganut Buddha yang taat, malah sejak kecil kehidupannya tidak asing dengan budaya keagamaan termasuk kunjungan ke tokong bersama keluarga.
Namun apabila meningkat dewasa, idola berusia 32 tahun itu membuat pilihan sendiri dengan tidak mengikat diri kepada mana-mana agama selain menganggap dirinya bebas daripada sebarang doktrin kepercayaan.
Walaupun tidak beragama, sikap hormat terhadap kepercayaan lain tetap utuh. Wanita tinggi lampai itu sering dilihat meraikan perayaan seperti Hari Natal. – HIBGLAM
