‘Tunggu kes Syed Saddiq selesai dulu baru fikir persiapan kahwin’

PENYANYI Bella Astillah mengakui akan mula melakukan persiapan perkahwinan selepas keputusan kes mahkamah melibatkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq diketahui pada 30 Jun ini.

Mahkamah menetapkan tarikh itu sebagai  hari penentuan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.

“Persiapan kahwin? Tunggu selepas 30 Jun nanti baru saya fikirkan. Sekarang kami lebih fokus terhadap keputusan rayuan pembebasan YB Syed Saddiq. Jadi sama-sama kita doakan.

“Kita fokus mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Biarlah semua kes mahkamah berakhir baru kita fikirkan tentang persiapan perkahwinan.

“Saya percaya ramai orang di luar sana yang mendoakan. Doa-doa kalian itu jauh lebih penting,” katanya ketika ditemui di Konsert Bintang Universe: The Dimension yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, semalam.

Bella turut menyangkal dakwaan kononnya dia bakal melangsungkan perkahwinan pada tarikh 26 Jun ini.

“Tiada istilah nak kahwin ikut tarikh yang cantik. Seperti saya katakan, kita semua menunggu kes mahkamah Syed Saddiq selesai dulu,” jelasnya.

Terdahulu pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok