PENYANYI rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice mengupah pengawal peribadi (bodyguard) demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo di negara ini.
Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 35, berkata, tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku terhadap wanita itu.
“Mondy selamat di sini. Paling bahaya kalau dia balik (Indonesia), kes ini akan berjalan lebih sebulan. Jadi, dalam tempoh itu dia akan berada di bawah jagaan pihak saya.
“Buat waktu ini kami pastikan dia dalam keadaan selamat sepanjang masa malah akan ada seorang ‘bodyguard’ wanita menemaninya.
“Tanggungjawab menjaganya jatuh ke bahu saya 100 peratus. Saya juga sudah berbincang dengan Kedutaan Indonesia, kita tengok macam mana nanti,” katanya pada majlis pelantikannya sebagai duta suplemen tenaga lelaki, ThorX, hari ini.
Menurut Caprice lagi, dia memberikan layanan sebaik mungkin kepada Mondy yang sudah dianggap sebagai tetamunya sepanjang berada di negara ini.
“Kalau Mondy balik ke Indonesia kes ini akan ditutup. Saya pun datang dari keluarga diplomatik yang diajar menghargai tetamu. Bapa saya dulu kerja di Wisma Putra.
“Saya dah biasa jaga tetamu. Kalau kalian datang ke tempat dia menginap, boleh tahu pihak saya layan dia baik-baik. Dia minta rokok gudang garam, saya cari sampai Bangi,” katanya.
Ditanya harapan berhubung kes membabitkan gangguan seksual itu, dia menegaskan bukan sekadar berkaitan Mondy, besar harapannya semua kes membabitkan mangsa bagi isu sama menemui keadilan.
“Harapan untuk semua kes termasuk kes Mondy adalah supaya suara mangsa dapat didengar secara jelas sebelum mengecam mereka.
“Mangsa seksual, takkan kita nak kecam secara melulu. Saya berharap orang Malaysia dapat beri peluang kepada semua mangsa mendapat pembelaan.
“Insya-Allah, kebenaran dan keadilan akan sentiasa berada di pihak mangsa,” katanya. – HIBGLAM